NAPLES, 26 FEB – Antoine Griezmann menjadi penyelamat Barcelona daripada dimalukan setelah terikat keputusan 1-1 menentang Napoli pada pusingan pertama perlawanan Liga Juara-Juara kelompok 16 pada Selasa lalu.
Pemain kelahiran Perancis, Griezmann berjaya menjaringkan gol sebelum satu jam perlawanan di Naples selepas Dries Mertens meletakkan pasukan tuan rumah di hadapan pada minit ke-30. Gol tersebut merupakan gol Dries Mertens yang ke-121 untuk Napoli, menyamai rekod yang dipegang oleh Marek Hamsik selaku penjaring terbanyak sepanjang zaman pasukan Napoli.
Barcelona menghabiskan permainan dengan 10 orang pemain setelah Arturo Vidal telah dibuang padang selepas menerima kad kuning kedua apabila perlawanan berbaki dua minit. Ini ekoran kekasaran dilakukan terhadap pemain pertahanan Napoli, Mario Rui.
Selepas perlawanan, jurulatih Barcelona, Quique Setien dipetik berkata “Pada akhir perlawanan, ia merupakan satu keputusan yang baik kerana kami akan bermain di tempat sendiri nanti.”
Pertembungan tersebut merupakan perlawanan pertama kedua-dua pasukan dan ia juga merupakan perlawanan pertama kedua-dua pengurus, Setien dan Gennaro Gattuso, yang mengambil alih pasukan setelah peringkat kumpulan.
Ketua pasukan Napoli, Lorenzo Insigne berkata “Kami sepatutnya memenangi perlawanan, dan kami berasa sedikit kecewa (dengan keputusan). Ia adalah sesuatu penuh emosi untuk bermain menentang pemain seperti (Lionel) Messi.”
Messi gagal menjaringkan sebarang gol dalam penampilan pertama beliau di Stadio San Paolo, di mana pemain legenda Diego Maradona memonopoli tiga dekad yang lalu.
Pemain berusia 32 tahun, Messi berjaya menjaringkan empat gol ketika menentang Eibar hujung minggu lalu untuk mengembalikan Barcelona mendaki ke puncak Liga, tetapi gagal untuk menambah rekod jaringan 114 gol beliau dalam Liga Juara-Juara. – AFP
