MADRID, 13 NOV – Penyerang berbakat, Antoine Griezmann membantu Atletico Madrid bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Villarreal 3-1 dalam aksi La Liga semalam.
Penyerang Perancis itu berjaya meledakkan gol ke-300 bagi kelab dan negaranya dalam kemena-ngan tersebut, yang mengekalkan Atletico di tempat keempat, dua mata di belakang juara bertahan, Barcelona, yang juga meraih kemenangan menentang Alaves awal pagi tadi.
Jurulatih Atletico, Diego Simeone menandatangani perjanjian baharu minggu ini sehingga 2027 dan dapat meraikannya dengan penuh bergaya, selepas Gerard Moreno meletakkan Villarreal di hadapan lebih awal di Metropolitano.
Axel Witsel, yang dibantu oleh Griezmann, menyamakan kedudukan sebelum rehat dan penyerang Perancis itu mencipta perubahan dengan menjaringkan gol pada minit ke-80, membawa kelegaan kepada pasukan tuan rumah.
Pemain gantian Samuel Lino melengkapkan kemenangan ke-17 di tempat sendiri dalam semua perlawanan lima minit kemudian, seterusnya menambah penderitaan Villarreal yang kini berada di tempat ke-14 dalam carta liga dan tanpa pengurus selepas Pacheta dipecat pada minggu ini. – AFP