Wednesday, October 2, 2024
29.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Griezmann umum bersara bola sepak antarabangsa

    PARIS, 1 OKT – Bintang bola sepak Perancis dan pemenang Piala Dunia 2018, Antoine Griezmann, kelmarin mengumumkan persaraannya daripada pentas bola sepak antarabangsa selepas 10 tahun berkhidmat dengan skuad kebangsaan.

    Griezmann, 33, yang merupakan naib kapten pasukan, mengongsikan berita tersebut menerusi satu kenyataan di laman sosial X. “Dengan hati penuh kenangan, saya menutup lembaran ini dalam hidup saya,” katanya.

    Beliau turut menambah, “Dengan penuh rasa terharu, saya mengumumkan persaraan saya sebagai pemain pasukan Perancis selepas 10 tahun yang luar biasa. Kini, tiba masanya untuk saya menyerahkan peranan ini kepada generasi baharu.”

    Griezmann, yang beraksi bersama kelab Atletico Madrid, memulakan debut bersama pasukan kebangsaan pada Mac 2014 dan berjaya mencatatkan 137 penampilan, menjadikannya pemain ketiga terbanyak dalam sejarah pasukan Perancis, di belakang Hugo Lloris (145) dan Lilian Thuram (142).

    Penyerang itu juga merupakan penjaring keempat terbanyak dalam sejarah Perancis dengan 44 gol, di belakang Olivier Giroud, Thierry Henry dan kapten semasa, Kylian Mbappe.

    Antara kejayaan terbesarnya termasuk membantu Perancis menjuarai Piala Dunia 2018 di Rusia dengan kemenangan 4-2 ke atas Croatia di perlawanan akhir. Dia juga menjadi penjaring terbanyak dalam kejohanan Euro 2016 dengan enam gol, yang menyaksikan Perancis mara ke final, meskipun tewas kepada Portugal.

    Griezmann turut memainkan peranan penting dalam perjalanan Perancis ke final Piala Dunia 2022, namun tewas kepada Argentina dalam penentuan penalti. Kejohanan Euro 2024 pula kurang memberikan impak, meskipun Perancis berjaya melangkah ke separuh akhir.

    Selain itu, dia juga beraksi dalam Piala Dunia 2014, Euro 2020, serta membantu Perancis menjulang trofi Liga Negara UEFA pada 2021. – AFP

    Reaksi Griezmann semasa menjulang trofi selepas perlawanan akhir antara Perancis dan Croatia pada Piala Dunia bola sepak 2018 di Stadium Luzhniki, Moscow. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda