SCARPERIA E SAN PIERO, ITALI, 25 SEPT – Hampir lima tahun selepas kerjayanya dalam Formula Satu (F1) berakhir akibat nahas ngeri, Romain Grosjean bakal kembali memandu kereta F1 apabila menjalani ujian bersama bekas pasukannya, Haas, di Litar Mugello pada Jumaat lalu.
Pelumba Perancis itu akan bertemu semula dengan bekas rakan sepasukan dan kru teknikal Haas ketika menguji kereta keluaran 2023. Grosjean akan memakai topi keledar edisi khas yang dihiasi lukisan tiga anaknya, yang asalnya mahu digunakan pada perlumbaan terakhir musim 2020 di Abu Dhabi. Namun, perancangan itu tidak kesampaian selepas dia terlibat dalam kemalangan ngeri di Grand Prix (GP) Bahrain sebulan lebih awal.
Nahas tersebut menjadi sejarah hitam F1 apabila kereta Grosjean terbelah dua dan terhimpit di penghadang lalu terbakar selepas bahan api menyala. Dia menerima rawatan kerana melecur, terlepas dua perlumbaan terakhir musim itu dan seterusnya gagal memperoleh kerusi F1 bagi musim 2021.
“Saya sendiri tidak percaya sudah hampir lima tahun berlalu, tetapi untuk kembali dan mempunyai peluang bersama pasukan lama adalah sesuatu yang benar-benar istimewa,” kata Grosjean. Sejak meninggalkan F1, dia lebih banyak beraksi di Amerika Syarikat dalam siri IndyCar dan kereta sukan, termasuk menyertai Indianapolis 500 tiga kali serta sekali menyertai perlumbaan 24 Hours of Le Mans. – AP


