Saturday, May 10, 2025
31.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    GS Gill kekal tambat hati pembeli

    KUALA LUMPUR, 30 Ogos – Orang ramai yang membeli-belah di Jalan Tunku Abdul Rahman, jalan yang terkenal di Kuala Lumpur pada setiap hujung minggu sudah pasti akan terpandang Wisma Harwant yang menempatkan kedai barangan sukan paling popular di ibu negara, iaitu G.S. Gill.

    Walaupun mereka terpegun dengan kedai dan pusat beli-belah baharu yang berkilauan di kiri kanan Jalan Tunku Abdul Rahman atau Jalan TAR, mereka tidak dapat mengelak daripada melihat Wisma Harwant yang terletak hampir di hujung jalan berkenaan.

    Diasaskan Tan Sri G.S. Gill, yang meninggal pada usia 92 tahun pada 27 Ogos 2016, kedai barangan sukan G.S. Gill bermula daripada sebuah kedai kecil di Jalan Tuanku Abdul Rahman (ketika itu Batu Road) pada 1946 sebelum berkembang ke Wisma Harwant, sempena nama isteri beliau.

    G.S. Gill akan terus diingati sebagai ikon peralatan sukan dan orang yang membawa jenama pakaian sukan Jerman, Adidas ke Malaya pada waktu itu.

    Peruncit peralatan dan aksesori sukan G.S. Gill Sdn Bhd, yang diasaskan mendiang G.S. Gill, kini dikendalikan cucu lelakinya, Mahaveer Singh bersama dua anak perempuan Gill.

    Kedai GS Gill yang menempatkan kedai barangan sukan paling popular di Kuala Lumpur. – Bernama

    Mahaveer, yang berazam untuk meneruskan legasi datuknya berkata, perkara paling penting dalam mengekalkan jenama, ketika yang lainnya telah berpindah atau menutup perniagaan, ialah fleksibiliti yang disemai datuknya ke dalam diri mereka dalam menjalankan perniagaan.

    “Tidak ada perubahan drastik telah dibuat tetapi peralihan. Tiada rombakan dan menjadi lebih fleksibel dari segi harga produk kami, menyusun arah kerana kami mahu memenuhi permintaan semua orang.

    Tetapi pada masa sama kami memberi tumpuan kepada jenama dalaman kami, Eider,” katanya. ?

    Anak perempuan Gill, Premjeet Gill, yang sering membantu Gill di kedai itu berkata, bapanya mempunyai cara tersendiri menjalankan perniagaan tersebut dan beliau mengambil masa yang lama untuk memujuk bapanya melaksana idea baharu.

    “Untuk Mahaveer, saya beritahu beliau, anda jalankan perniagaan itu. Cuma maklumkan kepada saya apa yang anda mahu lakukan.

    “Saya bersedia menerima idea baharu dan beliau (Mahaveer) berminat untuk menjalankan perniagaan dalam talian, iaitu sesuatu yang baik dan perlu kami lakukan,” katanya dalam temu bual dengan Bernama.

    Premjeet, yang berada dalam situasi yang sama dengan Mahaveer sebelum ini berkata, “Bapa saya telah memperkenal banyak perkara yang belum pernah dilihatkan dalam industri sukan sebelum ini.

    “Kami adalah antara pengusaha yang pertama yang meletakkan tag keselamatan ke atas produk dan pakaian kami.”

    Kedai itu yang berkembang maju sejak berapa dekad, terpaksa ditutup semasa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969. Tetapi apabila ia dibuka semula, perniagaan itu terus berkembang. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda