Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 FEB – Syarikat GHK Motors Sdn Bhd melancar kereta baharu GS3 Emzoom di Bilik Pameran Guangzhou Automobile Group Motor Co. Ltd (GAC) di Sumbangsih Bahagia, Perindustrian Beribi II, pagi tadi.
Hadir merasmikan kereta baharu itu ialah Pengarah Urusan GHK Motors, Yang Dimuliakan Pehin Kapitan Lela Diraja Dato Paduka Goh King Chin; dan Pengarah GHK Motors, Jake Goh.
Turut hadir Timbalan Pengarah Urusan GAC Motor China, Richard Chen; dan Pengurus Jualan GAC Motor China, Chris Lu.
Antara tetamu jemputan yang hadir ialah wakil-wakil dari Baiduri Finance Berhad, BIBD At-Tamwil Berhad dan Perbadanan TAIB.
Majlis berkenaan turut menyaksikan GAC Motor Brunei menyampaikan kunci kereta kepada pelanggan pertama iaitu Pengiran Suriati binti Pengiran Dato Paduka Haji Hidup.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/P6-2-Pic-1_08022025.jpg)
GAC GS3 Emzoom ialah SUV kompak dari GAC Motor, yang direka dengan penampilan sportif dan moden serta dilengkapi dengan ciri-ciri canggih. Ia menawarkan keseimbangan antara prestasi, gaya dan teknologi, menjadikannya pesaing kuat dalam segmen SUV kompak.
GHK Motors membawa dua varian GS3 Emzoom iaitu spesifikasi standard dan R-Style.
Bahagian depan GS3 Emzoom menampilkan gril depan yang agresif, lampu depan LED laser-eye dan memperlihatkan penampilan futuristik dan sporty.
Kereta itu dilengkapi dengan enjin turbocharge 1.5 liter, transmisi klac 7 kelajuan (DCT), sekali gus pemanduan yang mengujakan namun cekap bahan api. Dengan pelbagai mod pemanduan, GS3 mudah menyesuaikan diri dengan pelbagai keadaan pemanduan.
Orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai kereta baharu itu, bolehlah mengunjungi Bilik Pameran GAC Motors di Beribi.