KOTA KINABALU, 5 OKT – Usaha dan komitmen kerajaan serta Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membuahkan hasil dan sangat dihargai apabila berjaya memastikan pembebasan 23 sukarelawan Malaysia yang menyertai Global Sumud Flotilla (GSF), yang ditahan tentera rejim Zionis.
Yang Dipertua Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Sabah, Mohd Zikri Zainudin berkata meskipun Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel, Perdana Menteri tetap berusaha keras memastikan kesemua sukarelawan Malaysia itu dibebaskan.
“Malaysia mempunyai hubungan dengan negara yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel seperti Turkiye, Mesir termasuk Amerika Syarikat (AS), melalui usaha diplomasi Perdana Menteri dan pihak kerajaan ini memperlihatkan bahawa Malaysia diiktiraf sebagai sebuah negara yang mempunyai diplomasi tinggi dan mampu menjadi pendamai ketika krisis.
“Hubungan Malaysia–Turkiye juga sangat membantu dalam usaha membebaskan sukarelawan GSF, teşekkürler dan terima kasih diucapkan kepada Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan yang banyak membantu dalam usaha membebaskan sukarelawan GSF,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Menurut beliau, sukarelawan GSF yang juga mewakili Sumud Nusantara membawa suara rakyat Malaysia yang mahu melihat bantuan kemanusiaan diberikan kepada penduduk Palestin di Gaza, yang berdepan dengan kebuluran berikutan pihak Israel menyekat bantuan makanan, ubat-ubatan serta keperluan asas.
Seorang penduduk Bandar Sri Indah Fasa 3, Tan Piang Ho, 60, berkata usaha kerajaan diterajui Anwar bagi memastikan 23 sukarelawan GSF selamat dandibebaskan menunjukkan keprihatinan kerajaan serta kecekapan dalam menangani krisis antarabangsa.
“Terima kasih PMX dan juga rakyat Malaysia yang tidak putus-putus menyokong usaha dunia untuk terus menekan negara yang menindas, usaha 23 sukarelawan ini membawa harapan kepada warga Gaza yang hidup susah akibat konflik perang,” katanya.
Bagi penduduk Taman Kinabutan Ria, Hamzah Sainudin, 42, pula tindakan tidak berdiam diri Perdana Menteri berjaya memastikan pembebasan sukarelawan GSF yang dijangka pulang ke Malaysia esok, selain membuktikan ketegasan dalam melindungi rakyatnya. – Bernama


