Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    GSF pencetus kebangkitan dunia

    Penyanyi dan aktivis kemanusiaan, Datin Seri Heliza Helmi menganggap 7 Oktober 2023 bukan sekadar tarikh dalam kalendar, sebaliknya detik bermakna yang menjadi peringatan untuk terus memperjuangkan nasib rakyat tertindas di bumi Palestin.

    Memetik laporan mStar, selain menzahirkan rasa syukur atas peluang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza, Heliza, 39, menegaskan misi itu bukan sekadar membawa bekalan, tetapi menyemai harapan. 

    “Kalau ikutkan tarikh hari ini (7 Oktober), dua tahun lepas adalah ulang tahun serangan yang berlaku di Gaza. Kita dah solat hajat, hantar bantuan melalui darat dan kali ini Allah izinkan kami untuk bersama dalam misi flotilla”.

    “Ini bukan penamat, tapi pencetus berterusan untuk kita buka kepungan di Gaza. Kita lihat sekarang, satu dunia mula bangkit antaranya di Portugal, Sweden dan banyak lagi negara luar yang mana rakyat mereka bangkit menzahirkan sokongan,” tegasnya.

    “Semoga selepas ini Allah izinkan pintu Rafah dibuka dan bantuan dapat masuk tanpa sekatan lagi,” katanya kepada mStar.

    Heliza dan Hazwani selamat tiba di tanah air pada malam Selasa. – mStar

    Sementara itu, Hazwani yang turut serta dalam misi sama melihat penyertaan mereka bukan kegagalan, sebaliknya permulaan kebangkitan umat Islam dalam menyokong Palestin.

    Malah kata Hazwani, ia menjadi mesej jelas kepada rejim Zionis bahawa tekanan dunia semakin kuat terhadap kekejaman yang dilakukan ke atas rakyat Palestin.

    “Bagi saya misi ini tidak gagal. Ia permulaan di mana kita sudah menekan rejim Zionis. Mereka sendiri akui kekuatan zaman sekarang adalah media sosial dan kini mereka rasa tertekan”.

    “Bayangkan selepas 108 tahun Perjanjian Balfour, akhirnya United Kingdom memberi pengiktirafan kepada Palestin. Ia adalah hasil tekanan dunia dan mudah-mudahan negara lain akan ikut,” ujarnya.

    Dalam masa sama, Hazwani turut berkongsi satu peristiwa yang memberi kesan kepadanya sewaktu dipindahkan ke dua sel tahanan berasingan bersama aktivis antarabangsa. 

    Katanya, dia menyaksikan sendiri keberanian aktivis dari Eropah yang sanggup mengambil langkah luar biasa demi memperjuangkan keadilan.

    “Saya dipindahkan ke dua sel dan satu perkara yang sangat menyentuh hati apabila ada aktivis dari Eropah yang sanggup tak tandatangan surat pembebasan segera semata-mata nak beri tekanan kepada kerajaan mereka sendiri”.

    “Ada yang bukan Islam tapi semangat mereka untuk bebaskan Palestin luar biasa, itu buat saya terharu,” katanya.

    Untuk rekod, Heliza dan Hazwani merupakan sebahagian daripada hampir 500 aktivis antarabangsa dari pelbagai negara termasuk Turkiye, Sepanyol, Sweden, Mexico dan Brazil yang menyertai pelayaran flotila bagi membawa mesej kemanusiaan serta bantuan simbolik untuk rakyat Palestin.

    Bagaimanapun, kapal mereka telah dipintas tentera Israel di perairan antarabangsa sebelum semua peserta ditahan selama beberapa hari di penjara sementara di wilayah Israel.

    Mereka kemudiannya dibebaskan dan diterbangkan ke Turkiye sebelum pulang ke Malaysia. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda