NIKKO, Hasan Abdal, Pakistan – Kalis-bom, tahan gempa bumi dan murah: ribuan warga Pakistan memilih untuk tinggal atau berteduh dalam gua yang terletak di barat laut Islamabad, yang kelihatan seperti rumah ‘hobbit’ di tengah-tengah kekurangan kawasan perumahan di selurah negara itu.
Terletak kira-kira 60 kilometer dari ibu negara Pakistan, hampir 3,000 orang tinggal di gua di kampung Hasan Abdal, menurut ahli majlis Haji Abdul Rasheed, rumah persendiriannya itu adalah antara tempat tinggal yang diukir dan dipahat menjadi sebuah tempat tinggal yang ranggi, berdindingkan tanah di benteng lereng bukit.
Gua Rasheed yang sederhana ini, atau yang dikenali oleh penduduk tempatan sebagai ‘buray,’ terdiri daripada beberapa bilik yang dilengkapi dengan perabot yang minimal dan juga sebuah beranda yang berangin.
Gua-gua ini biasanya digali menggunakan tangan, dengan penduduk menggunakan tanah liat untuk melapisi dinding, satu amalan yang berfungsi sebagai benteng menentang tanah runtuh, kata mereka.
“Tidak ada yang seperti itu. jika anda membina rumah lumpur, ia akan runtuh semasa waktu hujan. Manakala yang ini pula tidak akan runtuh,” kata Rasheed.





“Ianya kalis gempa bumi dan bom.”
Walaupun penduduk tempatan telah tinggal di gua selama sekurang-kurangnya lima abad sejak kawasan itu diduduki oleh suku kaum Mughal, lonjakan harga perumahan telah memperbaharui keinginan masyarakat untuk perumahan gua, yang mana harganya jauh lebih murah dari tempat perbandaran.
“Kami membelinya kerana ianya jauh lebih murah… kami menggalinya sendiri,” kata penduduk, Ameer Ullah Khan.
Penghuni gua zaman moden ini juga mengesyorkan bahawa strukturnya ini sangat sesuai dengan cuaca di Pakistan, tetap sejuk walaupun semasa musim panas yang mana mencecah sehingga 40 darjah Celsius dan menyediakan kokun hangat semasa musim dingin yang begitu sejuk.
“Kami kebanyakannya menghabiskan musim panas di sini … menggunakan gua sebagai kediaman kami dan menyimpan barangan kami, termasuk gandum dan tuaian kami,” kata Muhammad Sohail, yang tinggal di tempat lain sepanjang tahun.
Kehidupan bagaimanapun tidaklah semudah yang disangka: kekurangan cahaya semulajadi yang mencukupi, gua bergantung kepada bekalan elektrik dari luar kediaman sehinggalah ke set TV dan telefon bimbit, sementara paip dalaman adalah jarang didapati atau diperolehi.
Tetapi dengan harga gua rata-rata sekitar 40,000 rupee (AS$300) berbanding dengan rumah bata yang bermula kira-kira 250,000 rupee, penduduk tempatan dan pakar hartanah mengatakan bahawa ianya jauh lebih murah daripada pilihan luar bandar yang lain.
“Walaupun di kawasan pedalaman, anda memerlukan sekurang-kurangnya setengah juta rupee untuk mendapatkan sebidang tanah kecil untuk membina sebuah rumah,” kata ejen hartanah Sakhi Riaz kepada AFP.
Kos yang lebih rendah telah membenarkan sesetengah penduduk menikmati kemudahan tambahan, dari taman bunga ros sehinggalah kebun buah-buahan bertingkat.
Salah seorang penduduk tempatan yang dikenali sebagai ‘godman’ malah telah membina sebuah kompleks kediaman besar yang mampu menampung ratusan penganut yang berduyun-duyun datang ke kawasan itu bagi menghadiri acara perayaan keagamaan.
Tempat tinggal sederhana itu dilihat sebagai pilihan yang telah menarik perhatian warga Pakistan dalam melawan kekurangan perumahan mampu milik, dengan jumlah penduduknya semakin meningkat di negara itu iaitu sekitar 207 juta orang.
Perdana Menteri yang baru dipilih, Imran Khan telah berikrar untuk menangani krisis tersebut dengan membina sebanyak lima juta rumah baharu walaupun krisis kewangan yang berterusan telah menimbulkan persoalan bagaimana dia akan membayarnya. – AFP