BUENOS AIRES, 30 Jan – Pemimpin pembangkang Juan Guaido berhasrat meningkatkan tekanan ke atas Presiden Nicolas Maduro dengan mogok di seluruh Venezuela hari ini, sehari selepas pentadbiran sosialis menegah Guaido dari meninggalkan negara ketika dia disiasat bagi kegiatan antikerajaan.
Lelaki itu mencabar dakwaan Maduro pada jawatan presiden, menggesa rakyat Venezuela supaya keluar dari rumah mereka dan tempat kerja selama dua jam bermula tengah hari dalam pergerakan pertama besar-besaran sejak dia mengisytiharkan dirinya sendiri pemimpin sah negara seminggu lalu ketika satu lagi pusingan bantahan besar.
Guiado berkata “Venezuela akan berubah.”
Peningkatan dalam tindakan politik telah menyaksikan 24 buah negara, termasuklah Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara besar Amerika Latin, menyokong Guaido dan pentadbiran Trump telah mengenakan sekatan yang boleh mengakibatkan negara berpendapatan berbilion-bilion dalam hasil minyak yang sudah pun tertekan berdepan dengan kebuluran.
Namun Maduro tetap dengan pendiriannya enggan meletak jawatan. Beliau mengawasi latihan ketenteraan dalam beberapa hari kebelakangan ketika berusaha mengukuhkan sokongan dari pasukan bersenjata dan beliau menuduh Washington melancarkan rampasan kuasa.

Dalam perkembangan lainnya, Mahkamah Agung Venezuela hari ini melarang Guaido daripada meninggalkan negara itu dan mengarahkan agar aset kewangannya dibekukan, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan Ketua Hakim Venezuela.
Hakim Maikel Moreno dalam posting beliau di akaun Twitter berkata mahkamah telah memulakan satu siasatan awal dan mengambil langkah-langkah pencegahan terhadap Guaido, yang dibuat bagi memelihara integriti negara.
Terdahulu, Peguam Negara Venezuela Tarek Saab meminta mahkamah agar menjalankan satu siasatan jenayah terhadap Guaido.
Venezuela telah digegarkan oleh tunjuk perasaan sejak 10 Januari apabila Presiden Nicolas Maduro mengangkat sumpah untuk penggal kedua selepas pembangkang memboikot pengundian.
Minggu lepas, Guaido, pemimpin Perhimpunan Kebangsaan Venezuela yang dikuasai pembangkang, mengisytiharkan dirinya sebagai pemangku presiden, satu langkah yang segera disokong oleh Presiden AS, Donald Trump.
“Saya bukan menolak ancaman, pendakwaan ketika ini, namun kita sudah berada di sini, kita akan terus melakukan tugas kita,” katanya kepada media ketika tiba di Perhimpunan Kebangsaan.
Guaido, yang diiktiraf presiden sementara Venezuela oleh Presiden AS Donald Trump, menghantar mesej kepada mahkamah atasan negara itu di Twitter, memberi amaran ‘rejim itu kini berada di peringkat akhir.’ – Bernama/AFP