ANKARA, 29 Mac – Kerajaan Venezuela mengeluarkan arahan yang menghalang pemimpin pembangkang, Juan Guaido daripada memegang sebarang jawatan dalam perkhidmatan awam selama 15 tahun, lapor agensi berita Anadolu.
Ketua Perhimpunan Kebangsaan itu dituduh tidak konsisten dalam pengisytiharan kewangan peribadinya dan mempunyai rekod perbelanjaan lebih tinggi daripada pendapatannya, menurut kenyataan pegawai pemeriksa kewangan negara, Elvis Amoroso.
Amoroso berkata berdasarkan undang-undang negara semua anggota parlimen diwajibkan untuk mengisytiharkan perbelanjaan kewangan mereka.
Guaido didapati telah melakukan 91 perjalanan antarabangsa membabitkan perbelanjaan berjumlah 300 juta bolivars (AS$30 juta) dan tidak memaklumkan punca duit diperolehi, tambah Amoroso.
Beliau juga didakwa menerima wang dari persatuan tempatan dan antarabangsa tanpa sebab munasabah.
Guaido mengisytiharkan dirinya sebagai presiden sementara Venezuela pada Januari lalu ketika negara sedang bergelumang krisis ekonomi.
Amerika Syarikat menjadi negara pertama yang mengiktiraf beliau diikuti beberapa negara Amerika Latin.
Presiden Venezuela, Nicolas Maduro yang menerima sokongan padu Rusia enggan menyerahkan tampuk pentadbiran, sebaliknya mendakwa Guaido cuba merampas kuasa. – Bernama
