Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Feb – Rakyat dan penduduk di negara ini berpeluang mengalami persekitaran baharu untuk cawangan baharu Guardian di Pusat Membeli-belah OneCity di Salambigar.
Pelancaran cawangan ke-23 Guardian di Negara Brunei Darussalam itu oleh disempurnakan oleh Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Misle bin Haji Abdul Karim selaku tetamu kehormat majlis.
Pada majlis itu, Ketua Perniagaan Brunei Guardian, Jennifer Yang menjelaskan, cawangan terbaharu berkenaan berkonsepkan kesihatan dan kecantikan menerusi warna baharu iaitu jingga.
Menurutnya, jingga merupakan warna terang yang menggambarkan Vitamin C, keremajaan dan bertenaga untuk memberi galakan kepada generasi muda untuk melabur bagi kesihatan mereka.
Kedai baharu dengan konsep baharu ini, jelasnya, direka bagi menggalakkan dan memberi pengalaman berbelanja kepada pelanggan selain menawarkan kosmetik baharu dan jenama penjagaan kulit derma.
Sejurus pelancaran cawangan baharu Guardian itu, tetamu kehormat bersama tetamu khas yang lain berpeluang melihat lebih dekat lagi sekitar kedai berkenaan.
Sempena dengan pelancaran cawangan Guardian di pusat berkenaan, Kempen ‘One 23 Go’ dilancarkan bermula hari ini hingga 9 Mac depan di mana pelanggan akan berpeluang memenangi peluang untuk membeli-belah selama 23 saat ‘all you can grab’ di kedai berkenaan.
Kempen ini akan memilih tiga pelanggan bertuah untuk ke pusingan akhir ‘all you can grab’, yang mana kempen ini hanya berlangsung di Pusat Membeli-belah OneCity.
Di samping itu, Guardian juga memperkenalkan Hari Kecantikan oleh Guardian bermula penghujung Februari ini bagi mempromosi kecantikan dalaman dan luaran selain memberi kuasa kepada wanita untuk menyerlahkan keyakinan dan keselesaan mengenai kulit mereka.

