Oleh Yusrin Junaidi
Gambar oleh Bahyiah Bakir
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 MAC – Untuk mempromosikan gaya hidup sihat kepada masyarakat umum di samping memberikan tawaran terbaik untuk suplemen kesihatan, produk kecantikan dan banyak lagi, Guardian Pharmacy telah menganjurkan acara Hari Kesihatan di Pusat Membeli-belah Times Square di mana ia berlangsung selama dua hari hingga hari ini.
Sepanjang acara itu, Guardian juga menawarkan perkhidmatan kesihatan percuma termasuk ujian tahap glukosa dalam darah dan pemeriksaan kesihatan serta perundingan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Guardian, perkhidmatan berkenaan merupakan sebahagian daripada misi untuk menyediakan kemudahan gaya hidup sihat kepada warga Brunei dan pada masa yang sama untuk mendidik mereka mengenai gaya hidup dan kehidupan yang sihat.
Beberapa aktiviti juga diadakan untuk pelanggan yang membeli barangan Guardian sepanjang hari di mana mereka berpeluang memenangi hadiah menarik.
Di samping itu, pelanggan juga berpeluang mendapatkan potongan harga 30 peratus bagi produk Guardian pada hujung minggu di kesemua cawangannya.
Dalam perkembangan lain, Guardian juga akan melancarkan kedai terbaharu pada pertengahan Mei depan.

