Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 JAN – Guardian Brunei, hari ini, merasmikan sebuah lagi cawangan baharunya di Bangunan Plaza Abdul Razak, Batu Satu dalam usaha untuk mengembangkan lagi operasinya di negara ini.
Perasmian rangkaian kedai farmasi, kesihatan, kecantikan dan penjagaan diri itu disempurnakan bersama oleh Pengerusi Lembaga Bandaran, Haji Ali bin Matyassin selaku tetamu kehormat dan Ketua Perniagaan Guardian Brunei, Jennifer Yang.
Ruang dalaman cawangan baharu itu telah dihiasi dengan warna jingga bagi memberikan pengalaman membeli-belah yang menarik, manakala laluan yang lebih terang di rak pameran barangan memudahkan lagi pelanggan membuat pilihan.
Bersempena perasmiannya itu, seramai 200 pelanggan pertama yang berbelanja dalam jumlah yang ditetapkan di cawangan baharu itu akan menerima beg yang mengandungi barangan Guardian.
