LONDON, 1 Jan – Pengurus Manchester City Pep Guardiola berasa sesuatu perlu dilakukan bagi melindungi pemainnya selepas tonggaknya, Kevin De Bruyne terpaksa diusung keluar ketika pasukannya diikat 0-0 oleh Crystal Palace, semalam.
Susulan aksi hebat penjaga gol City, Ederson yang menyelamatkan penalti lewat permainan Palace, pemain tuan rumah Jason Puncheon melakukan terjahan keras ke atas De Bruyne yang menyaksikan perancang Belgium itu meninggalkan padang dengan lebam di kaki kanannya.
De Bruyne kemudian diberikan rawatan di kawasan tepi padang sebelum dibawa ke bilik persalinan oleh staf perubatan City.
Berikutan itu, Guardiola berasa tindakan yang lebih tegas perlu dilaksanakan atas kesalahan seperti itu dan berkata dia akan menyuarakannya kepada Persatuan Bolasepak Inggeris (FA).
“Mereka (FA) tahu apa yang mereka perlu lakukan. Mereka perlu melindungi pemain-pemain,” kata Guardiola.
“Tolonglah, pengadil, mereka perlu melindungi pemain. Kami bernasib baik ketika menentang Tottenham dan Newcastle. Hari ini kami tidak bernasib baik. Pengadil perlu melindunginya.
“Kami tahu betapa kuat keadaan fizikal di England tetapi pasukan-pasukan akan kehilangan pemain-pemain yang utama, bukan saja Manchester City.”
Keputusan seri menyaksikan deretan 18 kemenangan berturut-turut City berakhir tetapi kecemerlangan Ederson untuk menggagalkan penalti Luka Milivojevic pada minit-minit terakhir perlawanan membenarkan pendahulu Liga Perdana Inggeris itu meneruskan rekod tanpa kalah mereka kepada 21 permainan.
Guardiola juga mempertahankan keputusan seri yang diraih pasukannya dan menegaskan ia sentiasa akan berlaku. – AFP