Wednesday, April 23, 2025
27.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Guardiola gembira, City kini di tempat ketiga liga

    MANCHESTER, 23 APRIL – Pep Guardiola akui sangat gembira dengan jaringan gol Matheus Nunes pada masa kecederaan menentang Aston Villa dan berasa pelik kerana Manchester City jarang menjaringkan gol kemenangan pada lewat permainan mereka.

    Nunes memberi mata penuh kepada City setelah membuat jaringan pada minit keempat masa kecederaan menjadikan kedudukan 2-1 menewaskan musuh lima teratas Villa di Stadium Etihad kelmarin.

    City berada beberapa saat dari keputusan buruk dalam perlumbaan untuk layak ke Liga Juara-Juara menerusi penamat lima teratas.

    Tetapi kini mereka mengawal nasib mereka sendiri dengan baki empat perlawanan dalam musim liga mereka yang bergelora, terima kasih kepada kejayaan yang luar biasa pada detik terakhir.

    “Kami tidak biasa dengannya (gol lewat). Itu milik Liverpool terutamanya, berapa kali mereka menjaringkan gol kemenangan lewat di bawah Jurgen (Klopp) dan Arsenal di bawah Mikel (Arteta) juga? Saya tidak biasa dengannya, jadi saya benar-benar gembira,” kata Guardiola.

    “Bola sepak adalah emosi. Bagi peminat, pemain, kami mempunyai banyak tekanan untuk kelab untuk ke Liga Juara-Juara.

    “Pemain berkelakuan luar biasa. Kami sangat gembira. Kami berada dalam empat perlawanan terakhir dan kami adalah pesaing Liga Juara-Juara untuk kelayakan.”

    Gol liga pertama Nunes untuk City hadir selepas penyerang Aston Villa, Marcus Rashford menyempurnakan sepakan penalti yang kontroversi untuk menyamakan kedudukan dengan gol pembukaan awal daripada Bernardo Silva.

    City menikmati momen yang jarang berlaku dalam kempen yang hambar musim ini memaksa mereka menyerahkan gelaran juara yang dipertahankan dalam empat musim sebelumnya.

    “Musim ini teruk. Realitinya yang membuatkan awda berasa gembira ialah, ini Liga Perdana, ” ujar Guardiola. – AFP

    Reaksi Pep Guardiola meraikan gol kemenangan menentang Aston Villa di Stadium Etihad di Manchester, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda