LONDON, 28 Okt – Pep Guardiola (gambar bawah) mencabar Manchester City untuk membuktikan mereka masih kuasa utama Liga Perdana Inggeris ketika juara bertahan itu berdepan ujian penting menentang pencabar kejuaraan, Tottenham awal pagi Selasa ini.
Sejak kalah kepada Lyon dalam perlawanan Liga Juara-juara September lalu, The Citizen belum tumpas dalam tujuh perlawanan berturut-turut di semua pertandingan.
City menang enam daripada perlawanan itu, dengan hanya keputusan seri tanpa jaringan menentang Liverpool yang dianggap keputusan memberangsangkan memandangkan mereka bergelut di Anfield musim lalu.
Kemenangan 3-0 ke atas Shakhtar Donetsk dalam Liga Juara-juara di gelanggang lawan Selasa lalu menyebabkan Guardiola memuji persembahan itu sebagai yang terbaik buat City musim ini.
Memandangkan City baru saja membelasah Burnley 5-0, selain menikmati kemenangan 5-0 di Cardiff dan 6-1 ke atas Huddersfield musim ini, ia jelas satu penghargaan terlalu tinggi pengendali dari Sepanyol itu.
Namun Guardiola sedar ujian lebih sukar menanti City, bermula dengan Tottenham yang beraksi baik pada permulaan musim Liga Perdana.
“Sering kali sukar. Ia ketika musim pertama saya di sini. Saya tidak menjangkakan yang lebih,” kata Guardiola.
“Tiada apa yang mengubah pendirian saya mengenai pasukan sendiri. Saya mahu fokus memenangi perlawanan dan memberikan persembahan terbaik, menyedari kualiti pasukan Spurs,” katanya – AFP