MANCHESTER, 30 JAN – Pep Guardiola berkata dia tidak jangka Manchester City boleh memenangi Liga Juara-Juara dengan prestasi semasa, tetapi percaya pasukannya akan menjadi lebih baik apabila menentang Real Madrid atau Bayern Munich bulan depan.
City perlu bangkit pada separuh masa kedua daripada ketinggalan 1-0 untuk menewaskan Club Brugge 3-1 awal pagi tadi untuk mengelak tersingkir daripada kejuaraan buat kali pertama sejak 2012.
City juga menjadi pasukan yang semakin menurun dalam Liga Perdana musim ini, di mana mereka menduduki tempat keempat dengan 12 mata di belakang pendahulu Liverpool.
Tetapi Guardiola berharap mereka akan kembali kuat apabila pemain utama pulih daripada kecederaan dan kehadiran pemain baru seperti Omar Marmoush, Abdukodir Khusanov dan Vitor Reis dalam beberapa minggu akan datang.
“Sekarang tidak. Saya begitu realistik,” kata Guardiola apabila ditanya sama ada juara 2023 itu boleh memenangi pertandingan itu sekali lagi.
“Madrid telah kembali dari segi keputusan, Bayern pula bermain dengan musim yang luar biasa setakat ini dengan (jurulatih) Vinny (Kompany). Jika kami terpaksa bermain esok, maka ia sukar tetapi dalam dua minggu lagi kami tidak tahu.
“Kami akan membuat persiapan yang baik, menjadi cergas dan cuba lihat apa yang akan berlaku.”
Walaupun bergelut, City telah memenangi enam dan seri satu daripada lapan perlawanan terakhir mereka.
“Sekurang-kurangnya sejak kebelakangan ini kami mendapat keputusan,” tambah Guardiola. “Kami berada di tempat keempat dalam Liga Perdana, bukan untuk merebut kejuaraan, tidak mungkin, tetapi kami masih berada di sana.
“Piala FA juga kami (ada) di sana. Kadang-kadang mustahil hari ini tetapi esok (apabila) minda dan suasana yang berubah, saya cukup pasti kami akan cuba dan mencipta masalah untuk Madrid atau Bayern.”
Guardiola berkata dia menghargai perubahan format baharu Liga Juara-Juara yang menjadikan peringkat awal pertandingan lebih menarik minat, walaupun ia sebenarnya menjadikan lebih banyak tekanan.
Dan dia percaya kelab lain juga akan tekanan yang sama pada masa hadapan.
“Sebagai penonton (untuk melihat liga) sememangnya bagus. Masalahnya kami bermain lebih banyak perlawanan pada Oktober, November, Disember dan pada masa hadapan pasukan utama yang lain akan menjalani apa yang kami lalui musim ini.
“Kami berada di ambang 45 minit sebelum habis permainan. Ia adalah pengajaran yang luar biasa bagi saya dan kelab bahawa tiada apa yang harus disia-siakan.
“Tahniah kepada pasukan kerana mereka masih bermaruah dan kita akan lihat bagaimana kami tiba dalam masa dua minggu.” – AFP