MANCHESTER, 21 MEI – Pep Guardiola memaklumkan bahawa dia akan meletakkan jawatan sebagai pengurus Manchester City jika diberikan skuad yang terlalu besar musim depan kerana tidak sanggup untuk meninggalkan ramai pemain yang cergas daripada pasukannya.
City merancang untuk membina semula skuad yang semakin berusia dengan beberapa pemain senior dijangka mengikut jejak Kevin De Bruyne meninggalkan Etihad.
Pemain antarabangsa Belgium itu bermain dalam perlawanan terakhirnya di laman sendiri ketika City merekodkan kemenangan 3-1 ke atas Bournemouth, kelmarin.
Musim ini menyaksikan penguasaan City dalam liga utama England selama empat tahun berturut-turut berakhir dan kekalahan kepada Crystal Palace di pentas akhir Piala FA hujung minggu lalu bermakna mereka akan menamatkan musim tanpa trofi utama buat kali pertama dalam lapan tahun.
Kejadian kecederaan memberi kesan besar kepada City musim ini, namun Guardiola yang lebih gemar mempunyai skuad kecil menegaskan, “Saya sudah maklumkan kepada kelab bahawa saya tidak mahu perkara itu (skuad yang lebih besar).
“Saya tidak mahu tinggalkan lima atau enam pemain dalam ‘peti sejuk’. Saya tidak mahu itu. Saya akan berhenti. Bentuk skuad kecil, saya akan kekal. Mustahil bagi jiwa saya untuk memberitahu pemain bahawa mereka tidak boleh bermain.”
Pengurus dari Sepanyol itu menambah, “Sekarang berlaku usaha untuk menambah pemain dengan segera. Mungkin selama tiga atau empat bulan kami tidak dapat memilih 11 pemain, kami kekurangan pertahanan, ia amat sukar. Selepas itu, pemain kembali, tetapi perkara seperti ini tidak boleh berlaku.
“Sebagai pengurus, saya tidak boleh melatih 24 pemain dan setiap kali membuat pemilihan, saya terpaksa tinggalkan empat, lima, enam pemain di Manchester, di rumah, kerana mereka tidak boleh bermain. Ia tidak akan berlaku. Saya beritahu kelab, saya tidak mahu perkara itu berlaku.” – AFP
