LONDON, 17 DIS – Phil Foden menegaskan bahawa pemain-pemain Manchester City masih percaya kepada Pep Guardiola walaupun mengalami kekalahan pahit kepada Manchester United, yang melanjutkan rentetan prestasi buruk mereka.
City tewas lapan daripada 11 perlawanan terakhir dalam semua pertandingan susulan kekalahan 2-1 pertemuan derbi Manchester di Stadium Etihad pada Ahad.
Masalah pertahanan yang lemah dan kesilapan berulang-ulang menjadi punca kejatuhan City. Mereka bolos dua gol pada minit-minit akhir perlawanan, sekali gus memberikan satu lagi tamparan kepada harapan pudar juara Liga Perdana Inggeris itu untuk meraih gelaran kelima berturut-turut.
City yang berada di tangga kelima kini ketinggalan sembilan mata di belakang pendahulu liga, Liverpool, yang mempunyai kelebihan satu perlawanan.
Mereka sudah mencatatkan kekalahan kelima dalam liga musim ini – berbanding hanya tiga sepanjang kempen liga musim lalu.
Guardiola berkata selepas perlawanan bahawa dia ‘tidak cukup bagus’ ketika krisis terburuk dalam kariernya sebagai pengurus semakin memburuk.
Namun, penyerang City, Foden tetap berpendirian pengurus dari Sepanyol itu, yang baru sahaja menandatangani kontrak baharu selama dua tahun, masih mendapat sokongan daripada skuadnya.
“Kami masih belum mencapai tahap sebenar kami, tetapi saya masih percaya bahawa kami bermain cukup baik untuk mendapatkan mata dan keputusan yang positif,” katanya.
“Ia berkaitan dengan mengekalkan fokus sepanjang 90 minit penuh, tetapi kami sering hilang tumpuan pada waktu-waktu penting. Kami hanya perlu memperbaiki fokus itu.
“Kami akan terus percaya pada proses dan pengurus – saya yakin jika kami teruskan begitu, kami akan kembali ke landasan kemenangan dan kembali ke tahap sebenar kami.” – AFP