MANCHESTER, 20 NOV – Pep Guardiola bersedia untuk melanjutkan tempoh perkhidmatannya di Manchester City dengan menandatangani kontrak lanjutan selama setahun, lapor Athletic, kelmarin.
Guardiola telah memenangi enam gelaran Liga Perdana dan Liga Juara-Juara pertama kelab itu sejak tiba di Etihad pada 2016. Kontrak semasa bekas jurulatih Barcelona dan Bayern Munich itu akan tamat pada penghujung musim ini.
Terdapat spekulasi bahawa tempoh Guardiola mungkin akan berakhir dengan City yang berdepan masa depan yang tidak menentu berikutan perbicaraan berterusan ke atas 115 pelanggaran peraturan kewangan Liga Perdana.
Pengarah bola sepak kelab, Txiki Begiristain, sekutu rapat Guardiola, telah mengesahkan pemergiannya pada akhir musim ini.
The Athletic melaporkan bahawa jurulatih berusia 53 tahun itu akan menandatangani lanjutan satu tahun untuk perjanjiannya dengan pilihan selama setahun lagi.
Guardiola juga menandatangani dua sambungan kontrak sebelum ini di City pada November semasa berlangsungnya perlawanan bagi bola sepak antarabangsa.
Juara Liga Perdana Inggeris itu akan kembali beraksi Sabtu ini untuk menghentikan kekalahan yang dialami oleh pasukan tersebut.
Guardiola telah tewas empat perlawanan berturut-turut buat kali pertama dalam kariernya sebagai jurulatih. – AFP