MUNICH, 19 APRIL – Jurulatih Manchester City, Pep Guardiola, kelmarin menegaskan bahawa pasukan Bayern Munich yakin mereka mampu mengubah keadaan dan mengekalkan peluang mereka untuk melangkah ke separuh akhir Liga Juara-Juara pada awal pagi Khamis dengan mengekalkan keyakinan mereka.
“Saya pernah bekerja di sini di Bayern dan saya tahu mentaliti kelab ini. Ia ada di mana-mana, ia mengalir di dalam diri mereka. Mereka percaya mereka boleh melakukannya,” kata Guardiola, yang menjadi ketua jurulatih di Bayern dari 2013 hingga 2016 sebelum menyertai City.
Pasukan Jerman itu telah dibelasah 3-0 oleh City dalam perlawanan pertama aksi suku akhir mereka di Manchester minggu lalu, dan kini menghadapi tugas yang mustahil pada perlawanan kedua di Munich.
“Ini akan menjadi suatu keajaiban jika kita dapat melakukannya, namun kita tidak boleh hanya bercakap mengenainya,” kata jurulatih Bayern, Thomas Tuchel, kelmarin.
“Keutamaan kami adalah untuk memenangi separuh masa pertama. Jika kami dapat memenangi kedua-dua separuh masa dan mendapat tuah yang tidak kami dapat dalam perlawanan pertama, maka segalanya mungkin,” kata Tuchel.
“Ini satu tugasan yang sukar dan kita tidak sepatutnya menjadikannya lebih sukar dengan hanya melihat puncak gunung.
“Kami perlu menarik perhatian penonton supaya mereka dapat menyumbangkan tenaga yang diperlukan dalam perlawanan di mana perkara-perkara luar biasa boleh berlaku,” katanya. – AFP


