MANCHESTER, 16 MAC – Pep Guardiola tegaskan Manchester City masih boleh layak ke Liga Juara-Juara walaupun mengakui tekanan meningkat apabila seri 2-2 dengan Brighton kelmarin.
City mensia-siakan peluang untuk kembali ke empat teratas Liga Perdana apabila mendahului dua jaringan menentang pasukan yang turut memburu kelayakan ke Liga Juara-Juara, Brighton di Stadium Etihad.
Kini skuad Guardiola menduduki tempat kelima dalam liga, dengan Chelsea di tangga keempat bakal menentang Arsenal pada hari ini.
Selepas memenangi empat kejuaraan Inggeris berturut-turut, ia adalah kedudukan yang hambar bagi pemain dan peminat City, dengan Guardiola mengakui wujud rasa gementar dalam kelab.
“Ya, sudah pasti. Semua orang merasakan tekanan. Tetapi itulah yang berlaku. Kami perlu bermain lebih baik dan kami akan kembali,” katanya.
Guardiola tetap optimis bahawa City akan layak, dengan empat kedudukan teratas dijamin sertai Liga Juara-Juara dan tempat kelima juga mungkin bergantung kepada keputusan kelab Inggeris di Eropah pada musim ini.
“Saya sentiasa yakin, kerana saya seorang yang mahir. Saya ada saat-saat di mana saya ragu-ragu tetapi saya boleh mendapati cara yang betul, positif dalam segala-galanya,” kata Guardiola, yang juga tewas 1-0 di Nottingham Forest sebelum ini.
“Saya tahu ia akan menjadi sukar kerana banyak sebab tetapi kami mempunyai (lagi) sembilan perlawanan, sembilan perlawanan akhir.”
Guardiola tidak merungut mengenai keputusan itu selepas dua pendahuluan menerusi sepakan penalti Erling Haaland dan jarinagan Omar Marmoush diatasi menerusi sepakan percuma Pervis Estupinan dan gol sendiri City oleh Abdukodir Khusanov.
“Persembahan itu jauh, jauh lebih baik daripada kekalahan Nottingham Forest,” katanya.
“Kami mencipta momen yang baik tetapi mereka mempunyai pemain yang hebat dan mereka mengawal kami dengan sangat baik.”
Satu lagi detik kekecewaan Guardiola adalah Jeremy Doku yang didenda kerana pura-pura dijatuhkan ketika dicabar Jan Paul van Hecke pada separuh masa kedua.
“Jika dia tidak buat begitu, kakinya boleh patah,” kata Guardiola, yang turut mengesahkan penjaga gol Ederson terlepas perlawanan kerana kecederaan perut.
“Jeremy bukan pemain yang berpura-pura. Mereka sepatutnya tahu tetapi kami tidak menang atau kalah untuk keputusan itu.”
