Saturday, March 22, 2025
21.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Guatemala gantung insurans kenderaan selepas protes besar-besaran

    GUATEMALA CITY, 20 MAC – Kerajaan Guatemala kelmarin mengambil keputusan untuk menggantung undang-undang baharu yang mewajibkan pemilik kenderaan mengambil insurans, selepas negara itu dilanda protes ganas selama dua hari.

    Undang-undang tersebut, yang diterbitkan pada Isnin dan dijadualkan berkuat kuasa 1 Mei, mencetuskan bantahan besar-besaran dengan sekurang-kurangnya 30 jalan utama disekat oleh penunjuk perasaan. Pasukan polis turut dikerahkan dan menggunakan gas pemedih mata bagi menyuraikan demonstrasi.

    Kerajaan sebelum ini mempertahankan reformasi tersebut sebagai langkah penting untuk memberi pampasan kepada mangsa kemalangan jalan raya dan keluarga mereka, susulan insiden nahas bas maut pada Februari lalu yang me-ngorbankan lebih 50 nyawa.

    Namun, selepas meningkatnya tekanan rakyat, Presiden Bernardo Arevalo mengumumkan bahawa undang-undang itu akan digantung.

    “Keputusan ini diambil bagi menamatkan sekatan jalan dan mengembalikan mobiliti normal di seluruh negara,” katanya dalam satu video yang dimuat naik dalam talian.

    Beliau turut menyatakan bahawa penganjur protes telah bersetuju menubuhkan sebuah jawatankuasa teknikal untuk melaksanakan peraturan yang termaktub dalam Akta Lalu Lintas 1996 dalam tempoh setahun. – AFP

    Penunjuk perasaan menyekat jalan semasa protes terhadap mandatori insurans kenderaan di Bandaraya Guatemala pada 18 Mac. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda