JEPUN – Momotsuki, seorang artis berusia 20 tahun dari Jepun, menggabungkan minat berkebun dan fantasi dalam bentuk seni unik yang dipanggilnya sebagai ‘Baju Pari-Pari’.
Jika awda memikirkannya, bunga menghasilkan pakaian yang terbaik untuk pari-pari, tetapi awda memerlukan kemahiran dan imaginasi untuk mengubahnya menjadi pakaian berfungsi, dan Momotsuki, artis berbakat di sebalik jenama ‘Fairy Dress’, memiliki kedua-duanya.
Seorang tukang kebun dengan pengalaman lebih 14 tahun, wanita muda itu mempunyai idea kreatif untuk menggabungkan minatnya yang mendalam terhadap tumbuh-tumbuhan dengan alam fantasi, khususnya pari-pari.
Dia menggunakan bunga seperti pansy, bunga seri pagi, bunga mawar dan bunga teluki untuk mencipta pakaian cantik yang dianggap bertuah dipakai oleh mana-mana pari-pari.
“Saya telah berkebun selama kira-kira 14 tahun sejak saya masih kecil, dan dari semasa ke semasa saya telah menambah bilangan tumbuhan secara beransur-ansur,” beritahu Momotsuki baru-baru ini kepada Bored Panda.
“Saya sentiasa mengagumi dunia fantasi, dan apabila saya melihat kewujudan pari-pari, saya berfikir, “Ini, atas sebab-sebab tertentu, membuatkan saya penuh emosi,” tambahnya.
Kebanyakan bunga yang digunakan untuk baju pari-pari yang unik berasal dari taman Momotsuki sendiri, tetapi terdapatnya beberapa pengecualian yang ketara. Ada kalanya dia menggunakan bunga yang dibeli dari kedai yang telah mula layu, bunga yang dibuang di jalan, atau bunga gugur yang dikutip dari taman orang lain, dengan kebenaran terlebih dahulu.
“Saya juga memetik bunga yang rosak dan kelihatan seolah-olah ia akan gugur dalam masa sehari, atau pun saya memetik bunga dengan kelopak yang gugur dan bertaburan apabila saya menyentuhnya,” tulis artis itu di laman webnya.
“Saya juga memotong beberapa kelopak bunga yang rosak dan berubah warna untuk menjadikannya lebih cantik, dan kadang-kadang saya memetik bunga yang gugur atau putus ditiup angin atau hujan untuk membuat pakaian itu.”
Menurut laman web Fairy Dress, Momotsuki membuat pakaian pari-pari pertamanya pada April 2021.
Dia bersiar-siar di tamannya semasa pulih daripada kemurungan apabila dia tiba-tiba ternampak sekuntum bunga dan segera mendapat idea untuk mencipta pakaian yang rapuh.
Nampaknya,hasil ciptaannya ternyata begitu memuaskan sehingga dia terus menghasilkan pakaian tersebut.
Sebulan kemudian, dia memuat naik beberapa gambar pakaian pari-pari yang dibuat dengan bunga mawar, pokok ivy, kemunting cina dan bunga raja deli di Twitter, dan ia mendapat 180,000 like.
Tumpuan yang diterima dalam talian juga tersebar ke televisyen apabila artis itu dipaparkan dalam beberapa segmen televisyen.
Jenamanya telah berkembang sejak itu.
“Bagi saya, pakaian pari-pari bermula sebagai sesuatu yang saya lakukan sendiri untuk keseronokan.
Walau bagaimanapun, ramai orang memberitahu saya, pakaian dongeng itu mempunyai kualiti penyembuhan, dan saya secara beransur-ansur mula membuatnya dengan doa dalam hati saya,” ujar Momotsuki.
“Walaupun pakaian dongeng tidak mempunyai tempat di hati awda, ada sesuatu tentangnya yang akan menyokong awda secara tidak sedar.” – Agensi