Saturday, November 23, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gubahan kreatif pokok duit, kebaya

    KUALA LUMPUR – Minat atau hobi terhadap bidang seni boleh membuahkan karya yang bukan sahaja unik serta menakjubkan tetapi juga boleh menjadi sumber kewangan.

    Buat Rafidahnani Apandi,46, bermula daripada ‘suka-suka sahaja’, kini daya kreativitinya menghasilkan ‘pokok duit ‘ yang turut dibingkaikan semakin mendapat sambutan.

    Gubahan pokok duit itu sesuai untuk dijadikan buah tangan selain menjadi pilihan untuk digantung atau menjadi hiasan dinding kediaman.

    Bukan itu sahaja, wanita kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu yang juga amat menggemari barangan antik, turut menjahit replika baju kebaya, yang turut dibingkaikan.

    SENI POKOK DUIT

    Berkongsi lanjut mengenai hobi menggubah pokok duit yang kini menjadi sumber pendapatan, ibu kepada dua cahaya mata lelaki ini berkata, ia bermula lima tahun lepas, asbab Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID yang melanda negara ketika itu.

    Antara koleksi karya yang dihasilkan oleh Rafidahnani. – Bernama
    Antara koleksi kebaya yang dibingkaikan hasil sentuhan seni Rafidahnani Apandi. – Bernama
    Bingkai ranting-ranting memiliki kelompok peminatnya tersendiri. – Bernama
    Tengku Temenggong Kedah, Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim menerima hadiah khas pokok duit hasil sentuhan Rafidahnani. – Bernama

    Itu pun, katanya, lebih kepada sekadar suka-suka sahaja dan pokok duit itu dijadikan hiasan di rumah sendiri, namun tidak menyangka lama-kelamaan ia mendapat perhatian ramai.

    “Untuk menyiapkan satu bingkai yang memiliki pokok duit ini kebiasaannya saya menggunakan wang syiling satu sen. Kebanyakan pelanggan akan menyediakan wang syiling secukupnya denggan anggaran 300 keping syiling untuk digubah menjadi pokok.

    “Namun sekiranya pelanggan tidak memiliki syiling berkenaan (satu sen), saya sendiri akan menyediakannya tetapi mengunakan duit syiling yang lebih mudah ditemui seperti syiling 10 dan 20 sen sahaja,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi baru-baru ini.

    Rafidahnani mampu menyiapkan sehingga enam pokok duit setiap hari bagi yang bersaiz besar, namun untuk membingkaikan pokok itu perlu dilakukan pada hari berikutnya.

    Ukuran bagi bingkai untuk gubahan pokok duit yang paling besar, bersaiz A3 manakala paling kecil berukuran A4 dengan harga dijual bermula dari RM120 ke atas.

    Rafidahnani menempatkan kesemua koleksi karya di rumahnya di Kampung Temeris, Kuala Pilah.

    KEBAYA DAN RANTING

    Selain pokok duit, Rafidahnani turut menghasilkan replika baju kebaya yang dijahitnya sendiri, kemudian dibingkaikan untuk dijual kepada pelanggan.

    Replika baju kebaya ciptaannya menggunakan fabrik jenis batik dengan pilihan batik Jawa kerana ia merupakan ‘lambang’, mewakili susur galur keluarganya.

    “Bagaimanapun, saya turut menggunakan kain batik Malaysia dan songket bergantung kepada permintaan dan kesukaan pelanggan. Untuk menghasilkan sepasang kebaya ini saya memerlukan sehelai kain batik.

    “Jika fabrik songket pula, sebanyak satu meter kain digunakan bagi melengkapkan busana kebaya berpasangan lelaki dan perempuan,” katanya yang berpengalaman selama 28 tahun sebagai tukang jahit.

    Menurutnya, dalam menyiapkan kebaya berkenaan tidak kira sama ada saiz kecil atau besar fokus dan ketelitian diperlukan bagi memastikan pakaian itu dijahit dengan kemas.

    “Kekemasan dalam jahitan adalah aspek yang paling saya utamakan. Begitu juga sewaktu hendak menampal kebaya pada papan sebelum ia dibingkaikan. Pada waktu ini, proses untuk melakukannya perlu berhati-hati terutama sewaktu sapuan gam agar gam tidak timbul di bahagian depan baju,” katanya yang mampu menyiapkan hingga 50 bingkai kebaya bersaiz kecil sehari.

    Tambahnya, antara cabaran menerima tempahan kebaya untuk dibingkaikan ketika menerima kain songket yang sudah reput dan perlu berhati-hati semasa memegang kain itu bagi memastikan fabrik tersebut tidak koyak dengan sendiri semasa digosok.

    “Kain songket yang diberi pelanggan ini merupakan kain lama daripada dibiarkan mereput lebih baik dibingkaikan sekurang-kurangnya dapat dipandang dan direnung sebagai kenang-kenangan,” katanya menambah, harga bagi bingkai kebaya bermula daripada RM45 dan mencecah ratusan ringgit untuk saiz besar.

    Selain kebaya, Rafidahnani turut menghasilkan satu lagi karya penuh kreativiti iaitu membingkaikan ranting yang memiliki kelompok peminat tersendiri.

    Ranting-ranting yang digunakan adalah yang ditemui di tepi pantai.

    “Bingkai ranting ini nampak mudah tetapi agak rumit juga untuk menyediakan bahannya. Kesukaran utama bagi proses membingkai akar pokok duit adalah semasa proses mewarnakan akar pokok itu.

    “Ia memerlukan masa seharian juga untuk menyiapkan beberapa pokok sebelum dibingkaikan,” katanya gembira apabila kerja-kerja membingkai ranting itu kini diwarisi anak lelakinya, Putra Amar, 23, yang turut membantu. Seorang lagi anak lelakinya, Putra Hafiz, 25, membantu membingkai baju kebaya.

    Ditanya kepuasan yang dikecapi dalam menghasilkan produk-produk sedemikian, Rafidahnani berkata, setiap kerja seni itu memiliki cabaran dan kesukaran tersendiri yang sesungguhnya menuntut ketelitian jitu serta kesabaran tinggi.

    “Namun setiap kali siap segala tugasan, rasa seronok tidak terhingga sebab hendak menyiapkan satu-satu hasil karya itu pastinya tidak sama. Rasa puas sangat bila dapat jelajah benda baharu dalam setiap tempahan yang pastinya ada pelbagai jenis permintaan,” katanya yang mendapat sokongan penuh daripada suami serta anak-anak tercinta.

    SIMPAN MEMORI LAMA

    Bercerita lanjut, Rafidahnani berkata, di samping replika kebaya, dia juga menerima tempahan daripada pelanggan untuk membingkai pakaian lama supaya dapat disimpan sebagai memori sepanjang zaman, selain menggamit nostalgia masa silam.

    “Seorang pelanggan membawa kebaya lama ibunya dan seorang lagi mahu sepasang baju kurung lama ibunya yang dipakai sewaktu majlis nikah dibingkaikan. Diperbuat daripada songket berwarna biru itu masih cantik,” katanya.

    Jelas Rafidahnani, antara sebab utama pelanggan mahu pakaian berkenaan dibingkaikan adalah bagi memastikan ia tidak rosak.

    “Selain dari baju-baju lama peninggalan orang tersayang, ia juga sebagai tanda penghargaan serta kenangan yang boleh selalu dipandang.

    “Di samping dijadikan hiasan, menyimpan dalam bingkai ini juga merupakan satu cara untuk menyelamatkan fabrik dari mereput dalam lipatan,” katanya.

    TEMPAHAN KERABAT DIRAJA

    Setelah hampir lima tahun berkecimpung dalam bidang penghasilan bingkai ini Rafidahnani berkata, meskipun dia semakin tidak menang tangan tetapi amat bersyukur kerana hasil karya seninya semakin diterima masyarakat dengan pendapatan purata sekitar RM4,000 sebulan.

    Sepanjang tempoh, tempahan diterima daripada orang persendirian, agensi kerajaan, swasta serta mereka yang ingin memberi cenderahati bagi majlis persaraan.

    “Kebanyakan kerja seni nukilan saya ditempah daripada individu serta jabatan kerajaan dan ahli-ahli perkumpulan untuk dijadikan cenderahati orang kenamaan.

    “Selain itu, saya juga banyak menerima tempahan dari pemilik kedai makan atau kafe terutama yang berkonsepkan klasik dan retro. Sudah tentu koleksi yang ditempah ini untuk dihias di premis mereka,” katanya, yang turut menerima tempahan daripada pihak hotel.

    Paling istimewa dan sukar dilupakan, Rafidahnani amat berbesar hati serta bangga apabila sentuhan kreativitinya turut menambat hati pihak kerabat diraja.

    “Syukur tidak terhingga atas kepercayaan diberikan dan ini merupakan momen manis mendapat tempahan khas pokok duit untuk dihadiahkan kepada Tengku Temenggong Kedah, Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim pada Julai lepas,” katanya.

    Mengenai impian di masa hadapan, Rafidahnani bercita-cita mahu membuka galeri sendiri serta mahu agar idea ciptaannya dikenali sepenuhnya, di samping menghasilkan lebih banyak karya seni berkenaan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda