Monday, May 12, 2025
27.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gubang alat pengangkutan terpenting suatu ketika dahulu

    Oleh Haji Mohd Daud Abdul Rahman

    PERAHU atau gubang adalah antara alat perhubungan terpenting sejak zaman dahulu sehinggalah sekarang di negara ini.

    Ianya digunakan setiap masa oleh masyarakat sama ada untuk pergi bekerja, menangkap ikan, membeli barangan harian mahupun berkunjung ke rumah sanak saudara dan rakan.

    Pada zaman dahulu, masyarakat di negara ini khususnya penduduk Kampong Ayer sudah terbiasa menggunakannya. Jika diamati, perahu atau gubang sudah berubah mengikut zaman. Pada masa ini, perahu-perahu yang ada sudah menggunakan enjin berkuasa tinggi, namun pada zaman dahulu, penduduknya hanya menggunakan pengayuh untuk menggerakkannya. Suasana orang mengayuh perahu atau gubang sudah hampir tidak kelihatan lagi pada masa ini.

    Sementara itu, antara tempat perhentian perahu atau persinggahan popular masyarakat adalah kawasan Dermaga, jambatan berdekatan tebing sungai berhadapan kedai di Bandar Brunei, Sungai Kianggeh dan banyak lagi. Jika masa dapat diputar kembali, teringin rasanya penulis untuk kembali ke zaman itu bagi menikmati lagi sekali suasana tersebut.

    Gubang atau perahu pada kebiasaannya boleh memuatkan sehingga lima orang penumpang termasuk pengemudi. Perairan Sungai Brunei pada masa dahulu sungguh tenang kerana belum banyak lagi perahu tambang berada di perairan jika dibandingkan pada masa ini. Penulis masih ingat dan terbayang lagi di mana deretan perahu atau gubang diikat berdekatan dengan tembok Panggung Bolkiah dan juga Sungai Kianggeh. Itulah kenangan yang tidak dapat dilupakan oleh penulis sehingga kini.

    Perahu atau gubang sememangnya alat perhubungan terpenting sejak zaman dahulu sehinggalah sekarang di negara ini.
    Gubang atau perahu boleh memuatkan sehingga lima orang.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda