BANGKOK, 30 JULAI – Jumlah kematian akibat letupan kuat yang meranapkan sebuah gudang mercun tanpa lesen di selatan Thailand meningkat kepada 10 orang hari ini, kata gabenor tempatan, ketika pihak polis mencari pemiliknya atas tuduhan kecuaian.
Letupan kelmarin yang berlaku di bandar Sungai Kolok itu dipercayai disebabkan oleh percikan api daripada kerja-kerja kimplan di bangunan itu.
Lebih 100 orang cedera dalam letupan tersebut, yang hanya meninggalkan serpihan besi ketika pekerja penyelamat memeriksa di sebalik serpihan, dengan media tempatan melaporkan ratusan rumah turut mengalami kemusnahan.
“Kami telah mengenal pasti 10 orang dan menemui anggota badan dari dua mayat yang belum dapat dikenal pasti,” kata Gabenor Negeri Narathiwat, Sanan Pongaksorn, dalam satu sidang media hari ini.
“Kami menghantarnya kepada pihak forensik untuk ujian DNA tetapi laporan awal mengatakan mereka adalah orang yang berbeza,” tambahnya.
Ketua Wilayah Polis, Mejar Jeneral Chalermporn Khamkhiew berkata mercun telah dihantar sejurus sebelum letupan berlaku.
“Kami masih menyiasat sama ada mercun itu dibawa secara sah atau secara haram,” katanya.
Letupan itu meledakkan kira-kira 1,000 kilogram (2,200 paun) bedil, mencetuskan dua lubang sekitar dua meter dalam dan enam meter lebar.
“Kami telah mengeluarkan saman kepada pemilik kilang atas tuduhan kecuaian yang menyebabkan kemalangan ini,” kata Kolonel Suthawet Thareethai, Ketua Polis Daerah Muno.
Pegawai berkata sebuah pusat kawalan telah ditubuhkan tidak jauh dari tempat kejadian dan pihak berkuasa telah menerima 365 aduan daripada mereka yang tercedera atau rumah dan harta mereka rosak.
Kerosakan kepada pejabat kerajaan dan sekolah-sekolah swasta juga dilaporkan, tambah mereka.
Pihak polis menyatakan daripada 115 orang yang cedera dalam letupan itu, 106 telah dibenarkan keluar hospital. Api yang tercetus akibat letupan itu berjaya dikawal lewat kelmarin.
Hari ini, pegawai dan pasukan kecemasan turut memeriksa kawasan terjejas dengan penduduk melihat tempat bekas rumah mereka pernah didirikan yang sudah pun musnah.
“Saya tidak ada apa-apa lagi,” kata Samsueya Chuenchompoo, yang rumahnya berkecai.
“Sekarang tidak ada atap langsung, sekalipun ketika banjir, saya masih dapat berlindung tetapi sekarang saya betul-betul tidak ada apa-apa lagi,” katanya.
Seorang penduduk lain yang terkesan, Sudarat Nooliteh, berkata rumahnya telah lenyap.
“Saya tidak ada tempat untuk tidur. Saya tidak ada makanan. Saya tidak ada wang,” katanya.– AFP