KALYNIVKA, Ukraine, 27 Sept – Pihak berkuasa Ukraine telah memindahkan lebih 30,000 orang hari ini dari tengah rantau Vinnytsya selepas gudang senjata terbakar dan meletup dalam apa yang pendakwa katakan kemungkinan satu tindakan ‘sabotaj’.
Ia merupakan insiden besar kedua yang menjejaskan tapak simpanan senjata Ukraine tahun ini. Kiev menyalahkan insiden pertama pada Mac ke atas pemberontak yang disokong Rusia dan Moscow yang memerangi pasukan Ukraine di timur yang dilanda perang – satu dakwaan yang dinafikan oleh kedua-duanya.
Pejabat pendakwa tentera negara bekas Soviet yang disokong Barat itu berkata hari ini bahawa ia telah membuka siasatan ke atas kemungkinan berlakunya ‘sabotaj di kemudahan tentera itu’.
Laporan segera memaklumkan bahawa tiada korban jiwa dengan hanya dua orang mengalami cedera kecil akibat letupan di salah satu kemudahan yang tentera Ukraine katakan menyimpan kira-kira 83,000 tan peluru dan bahan letupan lain.
Seorang wartawan AFP di tempat kejadian berkata letupan di bandar Kalynivka di rantau Vinnytsya terletak kira-kira 175km barat daya bandar Kiev itu boleh didengari setiap lima saat pagi ini dengan jalan-jalan di bandar yang mempunyai 20,000 penduduk itu hampir kosong.

“Penduduk mengalami kemusnahan besar,” kata seorang penduduk tempatan yang bersetuju untuk mengenalkan dirinya sebagai Antonina memberitahu AFP.
“Beberapa buah rumah dengan tingkap dan pintu mereka hancur berkecai,” katanya.
Presiden Petro Poroshenko menekankan keseriusan situasi itu dengan memberitahu pegawai tertinggi tentera dan Perdana Menteri Volodymyr Grousman untuk melaporkan kepadanya terus selepas melawat tapak berkenaan.
“Ia adalah gedung senjata tentera Ukraine dan saya fikir ia bukanlah satu kemalangan,” kata Groysman dalam ucapan televisyen dari tapak itu.
Kakitangan turus am tentera kemudian mengeluarkan kenyataan mengatakan pemeriksaan awal menunjukkan bahawa ‘kira-kira 70 peratus kemudahan penyimpanan itu tidak musnah akibat kebakaran’.
Komander tertinggi tentera mencatat dalam Facebooknya yang kebakaran itu meletus sekitar jam 10 malam semalam (1900 GMT).
Jurucakap polis, Yaroslav Trakalo memberitahu cawangan berita Pravda yang kebakaran itu telah mengakibatkan peluru meriam di kemudahan itu meletup satu persatu.
Polis kebangsaan berkata lebih 30,000 penduduk telah dipindahkan dari kawasan sekitar tapak tentera itu dengan serta-merta.
“Manakala, 180 pesakit juga telah dipindahkan dari kawasan hospital Vinnytsia,” kata kementerian kecemasan Ukraine.
Takat kerosakan masih belum jelas namun media tempatan menggambarkan gudang itu menjadi salah satu yang terbesar di negara itu.
Para pegawai juga menutup ruang udara sekitarnya hingga lalu lintas udara sebagai langkah berjaga-jaga. – AFP