Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Guiu pemain paling berbisa

    BARCELONA, 23 OKT – Pemain muda baharu yang membuat penampilan pertama, Marc Guiu telah membantu Barcelona meraih kemenangan 1-0 ke atas Athletic Bilbao hanya beberapa saat selepas keluar dari bangku simpanan dalam aksi La Liga kelmarin, membawa The Catalan naik ke tempat ketiga.

    Barcelona kendalian Xavi akan menentang pendahulu, Real Madrid pada Sabtu depan dalam aksi Clasico hanya satu mata di belakang pesaing utama mereka, dan Girona yang menduduki tempat kedua, selepas menewaskan Almeria 5-2 sebelum ini.

    Untuk satu jangka masa yang panjang, Barcelona nampaknya tidak dapat mencipta jaringan menentang pelawat dari Basque, tetapi penyerang Guiu, 17, berjaya menjaringkan gol dalam masa kurang daripada seminit selepas dimasukkan oleh Xavi.

    Penyerang itu dibantu oleh hantaran Joao Felix dan rembatannya melepasi Unai Simon, yang sempat menyentuh bola dengan tangannya tetapi tidak berjaya menghalangnya masuk.

    Guiu merupakan pemain terbaharu dalam kalangan pemain belia yang telah membuat penampilan sulung mereka untuk Barca, tatkala akademi La Masia mereka terus menghasilkan bakat-bakat muda.

    Reaksi Guiu bersama rakan sepasukan selepas menjaringkan gol pembukaan pasukannya semasa perlawanan antara Barcelona dan Athletic Bilbao di Stadium Olimpik Montjuic di Barcelona, Sepanyol baru-baru ini. – AP

    “Dia telah berlatih bersama kami sepanjang musim, adalah penting bahawa setiap orang yang datang memberi sumbangan,” kata pertahanan Barcelona, Inigo Martinez kepada DAZN.

    “Kami gembira untuknya, untuk gol tersebut, dan lebih-lebih lagi, untuk kemenangan.”

    Xavi membawa masuk Guiu pada minit ke-79 dan dengan sentuhan pertamanya dia menembusi kawasan lawan dan kemudian dengan satu lagi rembatan penuh yakin melepasi Simon.

    Penuh dengan tenaga, penyerang itu kemudian dilayangkan kad kuning kerana cubaan melakukan slide tackle yang melibatkan penjaga gol.

    Kemenangan Barcelona membawa mereka mengatasi Atletico Madrid, di tempat keempat, manakala Athletic Valverde di tempat keenam.

    “Saya berasa kesal kerana bola itu melepasi saya dan mungkin saya boleh melakukan lebih banyak lagi,” kata Simon kepada DAZN.

    “Kami benar-benar mahu mendapatkan tiga mata untuk melebarkan jurang yang besar di atas tempat ketujuh.” – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...