JOHOR BAHRU, 3 NOV – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor merampas gula bernilai RM2.45 juta dari sebuah gudang di Kawasan Perindustrian Sri Gading, Batu Pahat Khamis lalu kerana menyimpan barangan kawalan itu melebihi had yang dibenarkan.
Pengarah KPDNHEP Johor, Mohd Hairul Anuar Bohro berkata nilai rampasan berkenaan membabitkan sitaan sejumlah 1,000 metrik tan gula dan merupakan rampasan gula pertama bagi tahun 2019 di negeri ini.
“Dalam operasi berkenaan, kita mendapati gudang yang telah beroperasi sekitar 10 tahun itu telah menyimpan barang kawalan berjadual melebihi had simpanan yang dibenarkan oleh Kementerian.
“Had simpanan sepatutnya tidak melebihi 2,000 metrik tan gula, namun kita mendapati pengusaha menyimpan sebanyak 3,000 tan metrik gula jadi berlaku lebihan sebanyak 1,000 tan metrik gula bersamaan satu juta kilogram gula,” katanya kepada pemberita dalam sidang media, di sini, hari ini. Beliau bagaimanapun berkata, tiada tangkapan dibuat susulan daripada operasi penyitaan berkenaan. – Bernama