Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Mei – Gula-gula Creamy Candy berjenama White Rabbit keluaran China yang sememangnya sudah tidak asing lagi di negara ini, telah didapati positif mengandungi protein khinzir.
Dapatan itu adalah hasil analisis yang dibuat oleh Jabatan Perkhidmatan Saintifik, Kementerian Kesihatan setelah dihantar oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam melalui Bahagian Kawalan Makanan Halal (BKMH), Jabatan Hal Ehwal Syariah.
Berikutan hasil dapatan terkini berkenaan, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dalam kenyataannya meminta kerjasama pengimport dan peniaga untuk membuat pengasingan produk tersebut dari tempat penyimpanan umum dan diletakkan di bahagian ‘Non-Halal’ sementara itu, pengguna beragama Islam yang memiliki produk terbabit dinasihatkan untuk menjauhi dan tidak memakan produk tersebut.
Sehubungan dengan itu, KHEU turut mengingatkan semua pengimport produk makanan ke negara ini supaya mengambil langkah berpatutan dengan melabel kandungan bahan ramuan produk-produk makanan yang diimport menggunakan Bahasa Melayu atau Inggeris secara telus dan bertanggungjawab.
Kenyataan menekankan, pelabelan tersebut bertujuan untuk memudahkan orang ramai mengetahui isi kandungan produk dan membuat pilihan tepat sebelum membeli sebarang produk.
Pelabelan secara salah, mengelirukan atau memperdaya boleh dikenakan di bawah Peruntukan 9 (b) Akta Kesihatan Awam (Makanan) Penggal 182 iaitu melabel, membungkus, menyediakan, menjual atau mengiklankan sebarang makanan dengan cara yang salah, mengelirukan atau memperdayakan tentang ciri, jenis, nilai, bahan, kualiti, komposisi, merit atau keselamatan, kekuatan, ketulenan, berat, asal, umur atau kadarannya atau dengan melanggar Bab 10 atau peruntukan-peruntukan lain akta berkenaan.
Kesalahan sedemikian boleh membawa hukuman penjara selama lima tahun atau suatu denda atau kedua-duanya sekali.
Kementerian juga mengingatkan orang ramai terutamanya umat Islam di Negara Brunei Darussalam agar lebih berhati-hati dalam memilih atau membeli produk-produk makanan atau minuman yang dijual di pasaran, dengan memastikan produk berkenaan mempunyai pengesahan halal dari mana-mana badan pensijilan halal yang diperakui.
Di samping itu, kementerian menekankan bahawa menjadi kesalahan bagi mana-mana peniaga yang mempunyai Sijil Halal atau Permit Halal menjual, menghidangkan atau menggunakan produk-produk makanan yang belum mendapat kebenaran daripada Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) dan boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Bab 37 Perintah Sijil Halal dan Label Halal 2005 dan jika didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak melebihi dari $8,000, dihukum penjara selama suatu tempoh yang tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
