HONG KONG – Menggunakan sepasang gunting, paip untuk meniup dan alat logam yang kecil, penjaga kedai runcit Hong Kong, Louis To meraut segulung gula lebur menjadi seekor naga, bakat yang dimanfaatkannya semasa Revolusi Kebudayaan China.
Bagi membeli-belah di Cheung Chau, sebuah pulau kecil di kawasan perairan barat Hong Kong yang terkenal di pelabuhan Victoria, ia telah menjadi destinasi yang mesti dikunjungi ketika berada di kawasan berkenaan.
Di situ, mereka akan berpeluang menyaksikan seorang penduduk tempatan yang digelar sebagai The Candyman memahat dan melakar gula lembut ke dalam pelbagai bentuk haiwan dan makhluk fantastik.
Teknik tersebut merupakan bentuk seni masyarakat tersebut sejak berabad-abad lamanya di tanah besar China akan tetapi hanya ada beberapa orang sahaja di Hong Kong yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam bidang tersebut.
Asal usul seni yang dipraktikkan oleh To itu kembali semasa berlakunya Revolusi Kebudayaan ketika dia masih belajar membuat lakaran seni menarik itu. “Ketika itu, tidak ada makanan, tidak ada apa-apa,” kata To, yang dilahirkan di Chaozhou di Selatan China. “Oleh itu, apabila saya melihat kanak-kanak bersama dengan permainan mereka, saya cuba untuk membuat replika itu untuk diri saya sendiri,” jelasnya kepada media.


Kualiti sebuah seni
Dia teringat melihat pembuat-pembuat arca gula-gula tempatan yang akan datang ke kawasan kejiranan mereka dengan menggunakan basikal dan minyak lampu tanah serta beberapa arang batu bagi mencantikkan lagi kerja sebuah seni indah.
“Ketika itu, saya tidak mempunyai wang untuk membeli gula-gula tetapi saya melihat tukang seni membuatnya,” katanya kepada AFP. “Saya teringat dengan baik bagaimana dia menghasilkan arca itu, sangat terperinci,” tambahnya.
Keluarga To berpindah ke Hong Kong sekitar tahun 1980an ketika China mula ‘membuka dirinya’ selepas kematian Mao Zedong. To bukan seorang pelajar yang terbaik malah dia berhenti sekolah dan memfokuskan kerjayanya sebagai seorang artis seni. Namun setelah dia berpindah ke Pulau Cheung Chau bersama keluarganya sendiri pada awal tahun 2000an, dia kemudian beralih kepada seni memecahkan gula menjadi bentuk arca menarik.
Walaupun Hong Kong terkenal dengan beberapa koleksi bangunan-bangunan pencakar langit yang padat, namun wilayah itu juga terkenal dengan pulau-pulau terpencil dan mempunyai suasana santai dan desa yang aman.
Cheung Chau juga mempunyai bangunan yang tinggi namun penduduk di pulau tersebut masih mengamalkan kehidupan yang lebih tradisional di mana kebanyakannya adalah komuniti nelayan.
“Di pulau ini, saya melihat banyak perkara yang mengingatkan saya kepada zaman kanak-kanak, seperti tarian singa dan perkara-perkara yang tidak saya lihat di bandar, hanya ada di sini,” kata To kepada media. “Saya teringat untuk mendapatkan kraf tangan gula-gula permata,” tambahnya.
Dengan tidak berbekalkan sebarang resipi untuk membimbingnya, To memulakan eksperimennya, mencairkan pelbagai jenis gula-gula. “Selama enam bulan, saya terus mencuba sekitar sedozen banyaknya,” jelasnya.
Akhirnya, dia menggunakan teknik yang betul untuk mendapatkan gula-gula lembut untuk memahat.
“Tangan saya mendapat luka-luka dan saya hampir berputus asa,” katanya. Kini, dia boleh mengacau acuan doh gula pada kepanasan 80 darjah Celsius dengan tangan kosongnya. – AFP