PARIS, 26 MAC – Gula-gula getah mengeluarkan ratusan kepingan plastik kecil terus ke dalam mulut orang, kata penyelidik kelmarin, turut memberi amaran tentang pencemaran yang dihasilkan oleh gula-gula tersebut.
Kajian kecil itu dibuat ketika para penyelidik mencari serpihan plastik kecil yang dipanggil mikroplastik di seluruh dunia, daripada puncak gunung hingga ke dasar lautan malah di udara.
Mereka juga telah menemui mikroplastik di seluruh badan manusia termasuk dalam paru-paru, darah dan otak menimbulkan kebimbangan tentang potensi kesannya terhadap kesihatan.
“Saya tidak mahu menakutkan orang,” kata Sanjay Mohanty, penyelidik utama di sebalik kajian baharu itu yang belum disemak semula kepada AFP.
Tiada bukti secara langsung menunjukkan bahawa mikroplastik berbahaya kepada kesihatan manusia, kata Mohanty dari University of California, Los Angeles (UCLA).
Kajian rintis itu sebaliknya berusaha untuk menggambarkan satu lagi kajian kecil yang menunjukkan kepingan plastik yang kebanyakannya tidak kelihatan itu memasuki badan kita, iaitu gula-gula getah.
Seorang pelajar PhD di UCLA, Lisa Lowe, mengunyah tujuh keping setiap satu daripada 10 jenama gula-gula getah, sebelum penyelidik kemudian menjalankan analisis kimia pada air liurnya.
Mereka mendapati satu gram gula-gula getah mengeluarkan purata 100 serpihan mikroplastik, walaupun ada yang mengeluarkan lebih daripada 600. Berat purata sebiji gula-gula getah adalah sekitar 1.5 gram.
Orang yang mengunyah sekitar 180 biji gula-gula getah setahun boleh menelan kira-kira 30,000 mikroplastik, menurut para penyelidik. – AFP
