GEORGE TOWN, 24 FEB – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berharap pihak berkuasa akan mengambil tindakan tegas dengan mengharamkan gula-gula mempunyai tekstur kenyal dan keras, yang boleh mendatangkan risiko bahaya dan masalah kesihatan kepada kanak-kanak.
Pegawai Pendidikan CAP N.V Subbarow berkata berdasarkan tinjauan, pihaknya mendapati gula-gula seperti itu termasuk gummy mata masih dijual secara terbuka kepada kanak-kanak kerana peniaga mendakwa pemborong tetap menghantar bekalan itu kepada mereka.
“Pemerhatian CAP itu dilakukan secara rutin sejak beberapa tahun lepas, dan terbaharu sejak minggu lepas mendapati makanan ringan tidak berkhasiat terutama gula-gula seperti gummy itu masih dijual di kedai-kedai dan penjual mendakwa ia mendapat permintaan terutama kanak-kanak kerana rasa manis dan pelbagai corak serta warna terang yang menarik.
“Boleh dikatakan lebih 200 produk pelbagai makanan ringan yang tidak sihat dan berkhasiat dijual, ada beberapa kedai yang saya sendiri pergi, penjualnya menjual secara terbuka dan ada yang menjual sembunyi-sembunyi,” katanya kepada Bernama hari ini.
Subbarow berkata beliau dimaklumkan semua produk itu dibawa masuk dari luar negara dan pemborong kemudiannya menjual kepada peruncit sebelum ia dijual di pasaran dengan harga sekitar 50 sen hingga RM5 berdasarkan saiz serta jenis makanan ringan berkenaan.
Beliau berkata kebanyakan produk itu juga mempunyai tekstur kenyal yang boleh memberikan kesan bahaya kepada pengguna terutama kanak-kanak yang tidak tahu cara hendak mengawal ketika makan sehingga boleh tercekik dan mungkin membawa maut.
Sehubungan itu, beliau meminta Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil tindakan tegas sementara Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) juga meningkatkan pemeriksaan bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan ditetapkan.
Subbarow berkata produk gula-gula kenyal itu juga dijual secara dalam talian menerusi beberapa platform e-dagang selain pihaknya mendapati terdapat kedai yang menjual gula-gula dalam bekas berbentuk vape atau rokok elektronik dan jarum picagari yang seolah-olah mahu mempengaruhi kanak-kanak menghisap vape atau dadah.
Sementara itu, tinjauan Bernama di sekitar George Town dan Pokok Sena mendapati beberapa kedai termasuk premis borong masih menjual gula-gula kenyal dalam pelbagai bentuk, malah peniaga turut mendakwa ia mendapat permintaan dalam kalangan kanak-kanak dengan setiap biji dijual antara 50 sen hingga RM1.
Khamis lepas, Mohammad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin,10, yang kritikal selepas didakwa tercekik gula-gula jenis gummy meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) Hospital Pulau Pinang.
Murid tahun empat Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Dua, Butterworth itu dipercayai membeli dua biji gula-gula terbabit sebelum sesi persekolahan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) pada 2.30 petang.
Susulan itu, KKM menegaskan penjualan produk gula-gula kenyal atau gummy berbentuk mata dilarang di semua platform dalam talian dan pasaran domestik sementara siasatan mendapati produk berkenaan menyalahi keperluan pelabelan yang diperuntukkan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan (PPM) 1985, Akta Makanan 1983 (Akta 281). – Bernama