Tuesday, October 15, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Guna AI bantu pekerja tangani pelanggan kasar

    TOKYO, 14 OKT – Syarikat teknologi Jepun, NTT Communications Corp dan SoftBank Corp sedang membangunkan sistem yang menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk membantu pekerja pusat panggilan menangani pelanggan yang kasar, lapor agensi berita Kyodo.

    NTT Communications mencipta sistem sokongan pusat panggilan yang boleh memantau perbualan antara pelanggan dan pengendali serta memaparkan contoh tindak balas yang sesuai di skrin pengendali.

    Dalam demonstrasi terbuka kepada media, sistem prototaip itu menawarkan contoh balasan kepada pengendali berkenaan berhubung aduan pelanggan.

    Selepas pengendali memberikan respons mengikut cadangan, sistem itu menandakan balasan sebagai ‘tiada masalah’.

    Sistem itu mampu mengurangkan beban psikologi pekerja, ketika ramai pengendali sukar untuk kekal tenang ketika menerima aduan daripada pelanggan kasar, menurut syarikat itu.

    Sistem tersebut juga dijangka membantu mengurangkan kemarahan pelanggan dengan memberikan respons yang cepat.

    SoftBank turut menggunakan AI untuk membangunkan sistem yang boleh melembutkan nada suara pelanggan ketika pengendali menjawab panggilan mereka.

    Syarikat itu merancang untuk menjadikan sistem ini sebagai perniagaan menjelang tahun fiskal 2025.

    Perkembangan itu berlaku ketika isu ‘kasu-hara’, atau tingkah laku kasar oleh pelanggan, semakin menjadi masalah sosial di Jepun, sebuah negara yang terkenal dengan budaya hospitaliti. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda