BEIJING, 30 OKT – Beijing akan menggunakan alat pengecaman wajah untuk mempercepatkan pemeriksaan keselamatan di perkhidmatan metro yang penuh sesak di bandar tersebut, menggunakan ‘sistem kredit’ untuk mengasingkan para penumpang ke saluran berlainan, lapor media kerajaan hari ini.
Barisan panjang dan komuter bertikai dengan kakitangan berhubung prosedur keselamatan lembap menjadi perkara biasa semasa waktu sibuk dalam sistem metro di metropolis yang mempunyai penduduk sekitar 20 juta orang.
Bandar itu merancang untuk memasang kamera yang akan mengimbas wajah-wajah para penumpang ketika mereka memasuki stesen kereta api bawah tanah dan mengasing-asingkan mereka ke saluran keselamatan yang berlainan, kata Pengarah Pusat Kawalan Trafik Kereta api Beijing, Zhan Minghui.
Menurutnya, rancangan itu melibatkan penubuhan ‘sistem kredit penumpang’, dan individu-individu yang ‘disenarai putih’ akan ditawarkan kebenaran keselamatan lebih cepat, lapor Beijing Youth Daily.
Mereka yang menerima ‘maklum balas abnormal’ selepas wajah mereka diimbas akan tertakluk kepada pemeriksaan tambahan.
Zhan tidak menyatakan butiran lanjut mengenai kriteria yang digunakan untuk mengasingkan para penumpang atau jenis apa yang boleh mencetuskan tindak balas tersebut.
“Teknik itu bertujuan untuk meningkatkan keefisienan pemeriksaan keselamatan yang termasuk pemeriksaan badan dan pengimbasan bagasi semasa sejumlah besar penumpang memasuki stesen,” ujarnya kepada forum pengangkutan bandar di Beijing kelmarin.
Kereta api bawah tanah Beijing pada Mei berkata ia telah memulakan ‘pemotongan poin kredit’ daripada para penumpang yang makan dalam gerabak kereta api.
Sistem kereta api di bandar tersebut pada masa ini mengendalikan lebih 12 juta perjalanan semasa waktu bekerja dan bilangan itu dijangka meningkat kepada 17 juta perjalanan menjelang 2022.– AFP