Buah-buahan merupakan makanan semula jadi bagi ikan yang hidup liar di sungai dan secara tidak langsung ia dapat dijadikan sebagai umpan untuk memancing.
Terdapat beberapa jenis buah-buahan yang dapat dijadikan sebagai umpan serta beberapa jenis ikan yang gemar makan buah-buahan.
Buah kerukup Siam
Kerukup Siam atau lebih dikenali sebagai ceri Melayu merupakan sejenis buah yang memiliki aroma bau yang wangi walau saiznya hanya sebesar hujung jari kelingking. Ceri Melayu ini dapat dijadikan sebagai umpan untuk memancing ikan lampam Jawa apabila buahnya cukup masak. Cara menggunakan buah ini sebagai umpan, hanya menggunakan satu atau dua buah mata kail no 3.0-5.0 yang dicucuk secara berlawanan dengan hati-hati pada buah tersebut. Untuk memastikan supaya buah ceri Melayu ini tidak mudah pecah, sebaiknya buah ini dijemur dahulu.
Selain itu, umpan ini juga dapat digunakan untuk menangkap ikan bawal dengan tambahan penggunaan senar no 0.18 pada bahagian leader agar tidak mudah putus. Hal ini disebabkan ikan bawal terkenal dengan gigi yang tajam yang mampu memutuskan senar pancing.
Buah melinjo
Kulit buah melinjo boleh dijadikan sebagai umpan memancing dengan cara kulit buah melinjo itu dibakar sekejap dan dipotong kecil-kecil kulit melinjo serta dikaitkan di mata kail no 3.0-7.0. Menggunakan kulit melinjo bakar merupakan umpan yang bagus dan jitu untuk ikan-ikan yang hidup di perairan yang deras dan jernih.
Buah kelapa bakar
Selain dari memancing ikan menggunakan buah-buahan, untuk menangkap udang sungai juga boleh dengan cara membakar buah kelapa yang sudah tua lalu dikunyah setelah sejuk dan taburkan di kawasan udang sungai bersembunyi. Gunakan simpul jerat dengan senar no 0.10 yang diikat di hujung lidi, lalu jerat udang yang makan kelapa tadi di hujung lancip kepala udang secara hati-hati.
Esen aroma buah-buahan
Selain menggunakan buah-buahan asli sebagai umpan, buah-buahan tersebut juga dapat dijadikan sebagai esen dengan merenjiskannya di kawasan memancing. Di antara buah-buahan yang baik dijadikan esen ialah melon, mangga, nanas, ceri Melayu, jambu batu dan sebagainya
Buah-buahan yang hendak dijadikan esen hendaklah dikisar dengan sedikit air sehingga hancur, perah dan ambil airnya. Lalu dicampur dengan beberapa bahan lain seperti tepung, kuning telur, marjerin, serbuk perasa, garam halus dan dibentuk menjadi adunan yang kenyal. – Agensi
