Thursday, September 19, 2024
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Guna dron tingkat prestasi sektor pembinaan

    KUALA LUMPUR – Penggunaan teknologi dron dilihat semakin mendapat tempat dalam industri pembinaan di negara ini sekalipun langkah itu melibatkan peningkatan kos sesebuah projek.

    Menurut pakar, pemaju bersedia berbelanja lebih bagi memastikan projek mereka berjalan lancar dan menepati jadual, berikutan banyak projek tertangguh semasa penularan pandemik COVID-19 kira-kira tiga tahun lalu.

    Lebih-lebih lagi sektor itu juga semakin rancak susulan langkah kerajaan menjadikan industri pembinaan sebagai antara strategi pemulihan ekonomi negara, menerusi pelaksanaan projek infrastruktur di bawah Rancangan Malaysia ke-12 seperti pengangkutan dan utiliti, selain projek perumahan mampu milik.

    Menurut Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia, peruntukan belanjawan untuk industri pembinaan pada 2024 yang berjumlah melebihi RM70 bilion, dijangka meningkat kepada RM100 bilion berdasarkan trend tahun-tahun sebelum ini, membabitkan projek baharu sektor awam dan swasta.

    Justeru, tidak menghairankan jika pemain industri pembinaan negara memanfaatkan teknologi dron yang dapat meningkatkan pengurusan projek. Namun, sejauh manakah teknologi dron dapat membantu merancakkan lagi sektor ini?

    Dron kini turut dilengkapi pelbagai teknologi canggih, antaranya LiDAR dan Kecerdasan Buatan (AI). – Bernama
    Gambar Bernama
    Pegawai Kawal Selia UAS CAAM, Muhammad Fadillah Rosli. – Bernama
    Dron dapat membantu pihak pemaju pembinaan melaksanakan pemantauan aspek keselamatan dan kesihatan pekerja masing-masing dengan lebih berkesan. – Bernama
    Ketua Eksekutif Lembaga CIDB, Datuk Sr Mohd Zaid Zakaria. – Bernama

    PERKEMBANGAN POSITIF

    Memetik laporan Drone Industry Insights, pakar geospatial, Prof Gs Dr Rosmadi Fauzi berkata penggunaan teknologi dron dalam sektor pembinaan global menunjukkan trend meningkat dengan nilai pasaran 2024 dianggar mencecah AS$4.8 bilion dan diunjur melonjak kepada AS$602 bilion pada 2030.

    Katanya, banyak syarikat pembinaan di negara maju seperti Jepun, memanfaatkan teknologi itu bagi memantau perkembangan projek dan juga aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

    Malah katanya, syarikat pengeluar peralatan dan jentera berat di Jepun seperti Komatsu telah membangunkan teknologi yang dapat mengintegrasikan data daripada dron dengan peralatan, agar jentera dapat berfungsi dengan lebih baik berdasarkan pelan yang dirancang.

    “Di Malaysia juga kita lihat ada perkembangan positif dari segi penggunaan dron, iaitu syarikat pembinaan bersedia melabur lebih banyak untuk teknologi dron berbanding tahun-tahun sebelum ini, kerana peranti itu dapat menjejaki kemajuan projek dengan lebih cekap selain mampu mengenal pasti sebarang masalah lebih pantas,” katanya kepada Bernama.

    Menurut pensyarah di Jabatan Geografi, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya itu lagi, dron dapat dimanfaatkan dari awal hingga selepas projek siap.

    Di peringkat prapembangunan, dron digunakan untuk membuat tinjauan tapak, seperti bentuk muka bumi, penting bagi perancangan tapak termasuk saliran dan penempatan struktur bangunan.

    Di fasa pembangunan pula, dron dapat menjejaki perkembangan projek sekali gus membantu penyediaan laporan kemajuan untuk dihantar kepada pihak berkepentingan.

    “Data daripada dron ini boleh diproses bagi menghasilkan output dalam bentuk tiga dimensi (3D) untuk tujuan dokumentasi, perancangan penyelenggaraan dan merekodkan sejarah proses pembangunan, selain boleh dijadikan rujukan penting oleh pihak berkenaan sekiranya timbul isu di kemudian hari,” tambahnya.

    Apabila projek siap, dron digunakan bagi meninjau struktur bangunan dan pemeriksaan bumbung, memandangkan peranti itu dilengkapi kamera yang canggih dan pengimejan terma untuk mengesan sebarang kerosakan pada struktur dan lain-lain.

    Mengulas lanjut, beliau berkata pengimejan radiometrik terma di dalam sistem dron yang mampu mengesan tenaga infra merah, dapat dimanfaatkan bagi mengenal pasti dengan pantas isu peralatan terlalu panas atau kerosakan elektrik yang merupakan pelopor biasa kepada bahaya kebakaran, membolehkan pihak pemaju mengambil langkah mitigasi segera bagi mengelakkan risiko tidak baik kepada pemilik bangunan kelak.

    Menurutnya, dron juga amat sesuai digunakan di projek berskala besar yang lazimnya memerlukan pasukan pemantau bergerak dari satu plot ke plot lain menggunakan kenderaan, yang bukan sahaja tidak cekap guna tenaga tetapi turut menyumbang kepada pelepasan karbon.

    PANTAU ASPEK KESELAMATAN DAN KESIHATAN PEKERJAAN

    Mengulas lanjut, Rosmadi berkata penggunaan dron juga dapat membantu penyelia projek memantau aspek Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) bagi menjamin kesejahteraan setiap pekerja.

    Katanya, dengan memanfaatkan data yang dikumpul oleh dron, pemaju dapat menentukan langkah keselamatan yang perlu diambil di tapak projek masing-masing, selain menggantikan tenaga manusia dengan peranti itu bagi memeriksa kawasan yang berisiko.

    Sementara itu, wakil pengurusan tertinggi Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH), Zanuddin Kisman berkata terdapat banyak manfaat dalam penggunaan dron di sektor pembinaan, khususnya dari segi keselamatan dan kesihatan pekerja.

    Menurutnya, ada dron yang dilengkapi teknologi tertentu seperti kecerdasan buatan dan boleh diprogramkan untuk mengenali peralatan keselamatan seperti topi keledar, jaket pantulan cahaya dan pakaian perlindungan diri, sekali gus membantu mengawasi pekerja.

    “MSOSH berpandangan penggunaan dron ini cukup penting memandangkan kes kemalangan dan kematian pekerja industri pembinaan kian meningkat saban tahun.

    Laporan statistik kemalangan pekerjaan dalam 10 sektor utama sepanjang Januari-November 2022 menunjukkan 6,306 kes Tidak Hilang Upaya Kekal (THUK), 227 kes Hilang Upaya Kekal (HUK) dan 186 kematian.

    “Daripada jumlah itu, 87 kes THUK, dua HUK dan 59 kematian membabitkan pekerja pembinaan dengan total 148 kes dan data ini amat membimbangkan. Diharapkan penggunaan dron dapat mengurangkan jumlah kes kemalangan menerusi aktiviti pemantauan KKP yang lebih efektif oleh pemaju,” katanya.

    Menurut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, majikan yang didapati melanggar aspek KKP boleh dikenakan denda hingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya.

    Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar pihak berwajib menggubal garis panduan dan peraturan yang jelas tentang penggunaan dron di tapak pembinaan, selain memberikan insentif kepada pemaju yang menggunakan teknologi tersebut untuk meningkatkan tahap KKP dan kecekapan projek.

    MOHON PERMIT

    Penggunaan dron di negara ini bagaimanapun perlu mendapat permit daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), dan bagi pemaju, mereka perlu memohon permit khas, iaitu Standard Authorisation to Fly (ATF) bagi operasi dron berisiko rendah dengan tempoh kebenaran maksimum selama tiga bulan selepas tarikh diluluskan.

    Menurut Pegawai Kawal Selia UAS CAAM, Muhammad Fadillah Rosli, permit itu hanya boleh dikeluarkan dengan kebenaran Ketua Pegawai Eksekutif CAAM berdasarkan ketetapan Peraturan-peraturan Penerbangan Awam (CAR) 2016 di bawah peruntukan Peraturan 140 hingga 144.

    Antara syarat yang ditetapkan bagi pengeluaran permit ialah pemohon hanya boleh menerbangkan dron bawah ketinggian 400 kaki di atas paras bumi, berat dron tidak melebihi 20 kilogram, dron mestilah berdaftar dengan SIRIM serta mematuhi pancaran frekuensi dibenarkan yang ditetapkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, mempunyai permit penggambaran udara daripada Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia, serta juruterbang dron mestilah membuktikan kompetensi mengendalikan dron.

    “Dalam borang permohonan permit, pemohon perlu menyatakan spesifikasi dron yang digunakan, butiran peribadi dan bukti kompetensi juruterbang dron, butiran penerbangan seperti tujuan, lokasi, tarikh, masa dan ketinggian penerbangan yang diperlukan. Di samping itu, penilaian risiko juga perlu dibuat oleh pemohon sebelum permit boleh dikeluarkan.

    “Maksud penilaian risiko adalah sebelum borang permit dihantar, pemohon perlu melakukan tinjauan tapak bagi mengenal pasti jajaran kawasan tapak pembinaan dan halangan fizikal yang ada. Mereka juga perlu lakukan pemetaan geospatial secara digital untuk disertakan dalam borang permit, bagi membolehkan kita menilai kawasan tapak tersebut selamat atau tidak untuk dron diterbangkan, supaya tidak memasuki ruang udara kawasan larangan kerajaan seperti penjara dan mengganggu privasi orang ramai,” katanya.

    Tambah beliau, penggunaan dron dalam industri pembinaan secara umumnya adalah di bawah kategori risiko rendah, iaitu juruterbang dron mampu mengekalkan perhubungan visual secara langsung atau dalam garis lingkungan visual (VLOS), dan biasanya permit boleh diluluskan dalam tempoh 14 hari bekerja.

    Setelah semua kriteria permit dipenuhi serta bayaran fi sebanyak RM250 (untuk satu dron di bawah 20 kg) dan RM1,000 (untuk satu dron melebihi 20 kg) disertakan bagi setiap dron dan setiap lokasi, barulah permit boleh dikeluarkan bersama Notice to Airmen (NOTAM) yang akan dijadikan rujukan pihak pengawal trafik udara terdekat, bagi mengelakkan berlaku sebarang kemalangan dengan pengguna udara yang lain.

    Keadaan ini berbeza dengan penilaian risiko di bawah kategori risiko sederhana, iaitu penerbangan dron secara jarak jauh dan luar dari VLOS, yang memerlukan pemohon menjalankan penilaian risiko yang lebih komprehensif. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda