Guna GPS jejak pergerakan ambulans

KOTA KINABALU, 26 APRIL – Pusat Operasi COVID-19 Hospital Wanita dan Kanak-Kanak (HWKK) Likas kini menggunakan Sistem Penjejakan GPS (Sistem Kedudukan Global), bagi mengesan situasi semasa pergerakan setiap ambulans, kata Ketua Pakar Perubatan Kecemasan HWKK Dr Cheah Phee Kheng.

Beliau berkata ia adalah projek perintis yang berfungsi melancarkan pengurusan ambulans, meningkatkan dan memperbaiki sistem perkhidmatan perubatan, selain mampu meningkatkan kadar selamat pesakit.

“Selain di HWKK Likas, sistem ini juga dilaksanakan di Hospital Kota Belud, Hospital Kudat, Hospital Kuala Penyu dan Klinik Kesihatan Telupid.

“Objektif utama sistem penjejakan GPS Ambulans ini diperkenalkan adalah sebagai pemantauan pergerakan ambulans bagi memastikan pasukan selamat dan tiba dalam waktu yang ditentukan. Petugas juga dapat melaporkan kejadian yang luar biasa seperti kerosakan, kelajuan, pemanduan berpanjangan (keletihan pemandu), penggunaan dan perkhidmatan berlebihan setiap unit ambulans,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata sistem berkenaan akan menghantar dan menerima data kemas kini hospital, maklumat semasa mengenai keadaan pesakit yang tersedia secara dalam talian ke hospital penerima apabila dikemas kini dalam talian oleh pasukan yang berada di dalam ambulans. – Bernama