Penyanyi Malaysia, Shima, 55, mengakui aktif membuat siaran langsung di TikTok bagi menampung perbelanjaan harian.
Shima yang popular dengan lagu Teringin berterima kasih kepada pengikut yang sudi mendengar nyanyiannya di platform itu, malah, ada yang bermurah hati menghulurkan ganjaran.
“Saya cari rezeki di TikTok. Saya menyanyi secara live malam-malam. Alhamdulillah, ada rezeki di platform itu. Ada kalanya saya akui usaha ini membantu.
“Namun, sebagai penyanyi, kadang-kadang kita sihat dan ada kala kita sakit. Itu perkara biasa.
“Jadi, apabila sakit, tak dapat nak buat (siaran langsung TikTok). Apabila sihat, Alhamdulillah. saya boleh menyanyi,” katanya ditemui pada majlis Sumbangsih Prihatin anjuran Yayasan Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) dengan kerjasama Persatuan Karyawan Malaysia (KARWAWAN) di sebuah hotel di sini, kelmarin.
Shima berkata, pendapatannya bergantung kepada yang memberi sedekah.
Shima atau nama sebenarnya, Ku Nazhatul Shima Ku Kamarazzaman seronok melihat ramai rakan seperjuangan turut aktif di TikTok.
Menurut BH Online, Shima mengakui sudah lama tidak mendapat undangan nyanyian, sebaliknya, hanya ‘ditaburi’ cakap-cakap kosong pihak tidak bertanggungjawab.
Shima berkata, sumbangan yang diterima sedikit sebanyak membantu mengurangkan tanggungannya.
“Alhamdulillah diucapkan kepada PEKEMA dan KARYAWAN yang berkongsi rezeki dengan kami semua yang sakit dan tidak boleh bekerja.
“Saya ada penyakit paru-paru dan slipped disc. Sudah 10 tahun tak boleh buat kerja berat dan pundi kencing saya lemah.
“Saya sentiasa pakai pampers, itu semua perlukan duit. Jadi, syukur dapat sumbangan. Ini sangat membantu saya. Saya nampak sihat, tapi sebenarnya, sakit,” katanya. – Agensi