Ahad, 23 November 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Guna imbasan kod QR cari tandas awam di Jepun

    TOKYO, 28 OGOS – Syarikat tandas terkemuka Jepun, TOTO, melancarkan perkhidmatan baharu yang membolehkan orang ramai mencari tandas awam terdekat serta menyemak tahap kesesakan secara masa nyata dengan hanya melalui imbasan kod QR di telefon pintar.

    Seperti negara lain, Jepun juga berdepan kesukaran mengurus barisan panjang di tandas awam, khususnya untuk wanita, di stesen kereta api yang sesak serta lokasi tumpuan ramai.

    Sistem yang dilancarkan bulan ini oleh TOTO, terkenal dengan tandas semburan air dan muzik menghubungkan pengguna dengan sistem pengurusan fasiliti berasaskan internet yang sedia ada. 

    Sistem itu sebelum ini dibangunkan untuk memaklumkan kakitangan penyelenggaraan secara automatik sekiranya sesebuah tandas kotor atau digunakan terlalu lama.

    Kini, pengguna boleh mengimbas kod QR dengan telefon pintar untuk mengakses laman sesawang yang memaparkan lokasi tandas serta tahap kesesakan secara langsung.

    “Selain itu, kod QR yang diletakkan di dalam ruang tandas membolehkan pengguna melaporkan masalah, seperti tidak boleh mengepam atau kerosakan peralatan,” kata jurucakap TOTO, Tasuku Miyazaki kepada AFP, hari ini.

    Perkhidmatan itu turut ditawarkan dalam pelbagai bahasa termasuk Inggeris, Cina dan Korea.

    Kerajaan Jepun juga berusaha mengatasi masalah barisan panjang di tandas wanita, dengan Kementerian Pengangkutan dilaporkan sedang memohon peruntukan tambahan dalam bajet fiskal tahun depan.

    Peruntukan itu dijangka digunakan bagi menyediakan papan tanda digital serta dinding tandas mudah alih yang boleh menambah jumlah ruang tandas untuk wanita, menurut media tempatan. – AFP

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda