BEIJING, 29 Nov – Seorang guru tadika Beijing menggunakan jarum jahitan untuk menghukum kanak-kanak kerana tidak tidur, kata polis, tetapi dakwaan penganiayaan lain telah ditolak oleh siasatan ke atas skandal yang mencetuskan kemarahan negara itu.
Pihak berkuasa membuka siasatan ke atas tadika RYB Education New World minggu lepas selepas ibu bapa mengatakan kanak-kanak kecil diberi pil misteri dan mempunyai tanda jarum yang jelas.
Guru perempuan berusia 22 tahun dari wilayah Hebei yang bernama Liu ditahan sebaik sahaja kesangsian mengenai penderaan dibangkitkan, biro keselamatan awam di daerah Chaoyang di Beijing berkata lewat kelmarin menerusi akaun media sosialnya.
Kenyataan itu tidak memberikan maklumat lanjut tentang penggunaan jarum, seperti butiran kecederaan kanak-kanak atau umur mereka.
Rakaman pengawasan bilik darjah “rosak” kerana anggota staf sering mematikan elektrik bangunan selepas sekolah, menurut kenyataan itu.
“Berikutan kajian 113 jam rakaman pengawasan yang telah dipulihkan, kami tidak menemui bukti penganiayaan kanak-kanak yang lain,” kata polis sambil menambah bahawa siasatan sedang dijalankan.
Agensi berita Xinhua sebelum ini melaporkan kanak-kanak di tadika itu juga “dilaporkan dicabul kehormatan”.
Pemeriksaan terhadap seorang gadis yang terlibat dalam kes berkenaan atas permintaan ibu bapanya mendapati “tiada keabnormalan”, kata polis, sambil menambah bahawa dakwaan kanak-kanak telah dicabul secara kolektif adalah “khabar angin” yang dimulakan oleh dua wanita.
Seorang wanita ditahan dan yang lain diberi amaran, menurut polis, yang tidak menyatakan hubungan pasangan itu dengan sekolah berkenaan.
Polis hari ini mengatakan bahawa seorang wanita berusia 31 tahun ditahan kerana menyebarkan “berita palsu” di Internet.
Kenyataan itu mengatakan bahawa adalah dasar sekolah untuk ibu bapa bagi memberi kebenaran bertulis sebelum kanak-kanak boleh mengambil ubat di sekolah. – AFP