Lama tidak muncul dalam mana-mana drama atau filem, pelakon Datin Fouziah Gous berkata rindunya terhadap bidang seni terubat apabila masih menerima tawaran pengacaraan.
Menurut Fouziah atau Nor Fouziah Mohd Gous, 41, dia kini agak selektif dalam pemilihan watak lakonan kerana tidak mahu muncul dengan karakter sama seperti pernah dibawa sebelum ini.
“Selain faktor masa, watak juga antara sebab saya lama tidak berlakon. Sebelum ini saya telah mencuba pelbagai watak. Jadi kalau nak buat kemunculan semula perlu berbaloi.
“Bagaimanapun saya tidak boleh berjanji akan kembali berlakon jika diberikan watak menarik. “Saya sangat menikmati apa yang dilakukan sekarang ini.
Saya masih lagi mengacara, jadi tiada istilah rindu kerana saya juga tidak pernah bosan dengan apa yang dilakukan,” katanya kepada mStar. Fouziah ditemui ketika majlis pelancafan acara Feel Good Fast Food yang berlangsung di Petaling Jaya, Selangor pada Selasa.
Mula melibatkan diri dalam bidang perniagaan sekitar tahun 2008, aktres ini juga menolak dakwaan terlibat dengan sebarang unsur penggubahan wang haram seperti yang sering dikaitkan dengan selebriti lain.
Tegas Fouziah, dia menggunakan modal sendiri sepenuhnya sejak awal membabitkan diri sebagai seorang usahawan.
“Saya pun tidak faham sangat isu cuci duit ini kerana tidak banyak membaca tentangnya. Saya mulakan perniagaan dengan modal sendiri tanpa ada sebarang pelabur,” katanya. – Agensi
