Sunday, July 13, 2025
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    Guna mural untuk mencari kanak-kanak yang hilang di Argentina

    BUENOS AIRES – Kilauan air mata Daiana Garnica telah berjaya menarik perhatian orang ramai yang lalu lalang di ibu kota, Argentina, di mana wajah remaja perempuan itu telah dilukis di sebuah dinding dengan tujuan untuk meminta bantuan penduduk tempatan dalam usaha mencari remaja itu yang telah hilang setahun yang lalu itu.

    Imej wajah Garnica merupakan satu daripada lima lakaran mural, terhadap anak-anak muda yang telah hilang, di dinding-dinding bangunan di seluruh bandar Buenos Aires sekali gus meningkatkan lagi kesedaran orang ramai untuk mencari anak-anak muda yang hilang ini.

    Inisiatif ini telah dipelopori oleh organisasi swasta di bawah nama ‘Missing Children under The #ParedesQueBuscan atau #WallsThatSearch’, malah slogan-slogan ini disokong oleh beberapa artis seni urban yang berharap untuk meningkatkan lagi usaha pencarian dengan lebih luas dan jelas.

    “Saya ingin berkomunikasi dengan satu renungan, di mana ia akan memaparkan satu keinginan yang kuat, oleh itu, imej tersebut akan memberikan kesan yang mendalam,” kata artis seni, Sebastian Richeri kepada media AP.

    “Lantaran itu, anda boleh berhenti dan merenung lakaran itu, berbanding hanya melihatnya seperti melihat lakaran biasa yang lain,” tambahnya lagi kepada media.

    Remaja itu dikatakan kali terakhir dilihat pada 6 Mei 2017, ketika dia keluar hendak membeli-belah bersama dengan Dario Suarez, jirannya di sebuah komuniti kecil di Utara Argentina, Tucuman. – AP

    Medium pencarian

    Penggunaan warna oren terang mengelilingi wajah seorang remaja, dilakar dengan menggunakan warna hitam dan putih mempamerkan satu perbandingan warna yang pelbagai, kemudian ditambah dengan latar belakang galaksi yang menarik.

    Potret Garnica dilakar pada sebuah dinding terminal bas di kawasan kejiranan Villa Crespo, di mana kebanyakan seni mural urban dipamerkan di kawasan ini.

    Richeri, telah berjaya menghasilkan seninya itu yang dinamakan sebagai, ‘Chrispart’ merupakan gabungan perkataan ‘bersinar’ dalam Bahasa Sepanyol dan ‘seni’ dalam estetika karya kreatif.

    Richeri telah melukis berdasarkan kepada foto keluarga yang telah digunakan oleh keluarga itu untuk mencari Garnica, yang telah hilang ketika berusia 17 tahun.

    Remaja itu dikatakan kali terakhir dilihat pada 6 Mei 2017, ketika dia keluar hendak membeli-belah bersama dengan Dario Suarez, jirannya di sebuah komuniti kecil di Utara Argentina, Tucuman.

    Suarez merupakan suspek utama yang masih lagi ditahan sehingga ke hari ini untuk membantu siasatan selanjutnya. Dia dituduh bersubahat dan memainkan peranan terhadap kehilangan remaja perempuan itu.

    Pihak berkuasa negara itu telah menawarkan sekitar AS$6,000 kepada sesiapa sahaja yang berjaya memberikan informasi terhadap kehilangan remaja itu. “Tucuman tidak terkesan untuk mencari mangsa-mangsa yang telah hilang,” kata kakak Garnica, Sonia Garnica kepada media AP.

    “Tidak ada apa-apa perkhabaran daripada pihak berkuasa setakat ini yang mampu memberikan kami satu kepuasan,” tambahnya lagi kepada media.

    Dia menjangka adiknya itu, yang mana dikenali dengan sikapnya yang ceria dan sangat dekat kepada keluarganya, dihantar untuk melakukan aktiviti yang tidak bermoral. Namun dia masih berharap kepada satu kepastian.

    Richeri telah melukis berdasarkan kepada foto keluarga yang telah digunakan oleh keluarga itu untuk mencari Garnica, yang telah hilang ketika berusia 17 tahun. – AP

    “Saya rasa dengan adanya projek mural ini, ia akan menyebarkan lagi imejnya, sekali gus meningkatkan lagi hati nurani penduduk tempatan untuk sama-sama mencari dan menyebarkan satu maklumat bahawa keluarganya masih menunggu kehadirannya,” tambahnya lagi kepada media.

    “Jika mereka berfikiran seperti seorang ayah, ibu, ahli keluarga, pencarian akan dapat diselesaikan secepat mungkin,” jelasnya lagi.

    Usia yang muda

    Pihak pendaftaran kebangsaan negara itu telah mencatatkan sekitar 1,154 masih lagi hilang dan dianggarkan sekitar 2,571 kes di seluruh negara itu telah dicatatkan pada tahun lepas.

    Kebanyakan mangsa-mangsa yang hilang itu dikatakan berusia antara 13 hingga 17 tahun malah kebanyakannya terdiri daripada remaja perempuan.

    Kempen itu telah dilancarkan oleh Missing Children dan agensi promosi DDB Argentina. Kebanyakan imej mural memaparkan air mata yang berkilau, manakala di tepi mural tersebut akan dinyatakan nama remaja atau kanak-kanak yang hilang, umur dan nombor telefon bagi memudahkan mereka memberikan sebarang informasi terhadap keberadaan kanak-kanak yang hilang itu.

    “Individu yang melihat dinding ini akan berkata, kenapa wajah-wajah ini berada di sini,” kata ketua organisasi Missing Children Argentina, Lidia Crichener, sambil berdiri di depan sebuah mural Salome Valenzuela di kawasan kejiranan Palermo.

    Dinding-dinding ini mudah dilihat oleh para pejalan kaki dan penunggang motosikal, sekali gus menjadi satu perancangan strategik bandar itu untuk memperluaskan lagi objektif pencarian dan dikongsi ke dalam media sosial.

    “Dengan cara sedemikian, imej ini dengan renungan mata ini akan sampai ke mata-mata yang lain,” tambah Richeri lagi. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda