KUALA LUMPUR, 13 OGOS – Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat besar di Malaysia digesa mengguna pakai teknologi awan inovatif untuk kekal kompetitif dalam dunia digital yang pantas berkembang pada hari ini.
Pengarah Urusan Oracle Malaysia, Fitri Abdullah berkata sejajar dengan perkembangan Revolusi Perindustrian 4.0, teknologi baharu termasuk blockchain, kecerdasan buatan (AI), Internet of things (IoT) dan analisis data raya (BDA) telah menjadi sebahagian penting dalam usaha mencapai matlamat ini.
“Hasrat kerajaan baharu adalah untuk menjadi ‘Harimau Asia’. Untuk kita menjadi ‘Harimau Asia’, mereka (syarikat-syarikat) perlu menguasai semua teknologi inovatif baharu ini, kerana mereka boleh menyediakan khidmat yang lebih baik kepada rakyat dan melakukan perubahan.
“Mereka perlu membangunkan pelan transformasi digital, jika tidak mereka akan menjadi lapuk dan ketinggalan di belakang,” katanya kepada Bernama semasa ditemui selepas Forum Teknologi Awan Moden Oracle, yang diadakan di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, bagi membantu syarikat ini mencapai matlamat tersebut, ORACLE, penyedia perisian perniagaan nombor satu di dunia berhasrat untuk bekerjasama lebih rapat dengan pelanggan bagi memastikan mereka memiliki kualiti yang perlu untuk berdepan cabaran dalam landskap digital ini.
“Penyelesaian kami disasarkan terutamanya kepada perusahaan besar. Tetapi kini dengan teknologi awan, kami juga boleh menggunakan penyelesaian yang sama bagi PKS,” katanya.
Menjelaskan mengenai BDA, Fitri berkata menurut The Economist, dahulu komoditi paling penting di dunia adalah minyak. Tetapi hari ini, data telah mengambil alih. – Bernama
