Guna pembesar suara di tamu, pasar bendung COVID-19

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 APRIL – Dalam usaha mengawal penularan jangkitan COVID-19 di negara ini, Jabatan Bandaran, Bandar Seri Begawan terus mengambil langkah tegas dengan inisiatif menggunakan pembesar suara di tamu-tamu dan pasar-pasar tumpuan ramai bermula hari ini.

Penggunaan pembesar suara adalah usaha terbaharu jabatan tersebut untuk sama-sama mengingatkan pengunjung dan orang ramai agar sentiasa mengamalkan penjarakan sosial semasa berurus niaga di tempat yang sering dikunjungi orang ramai pada hari Jumaat dan Ahad, kata Ketua Pengurusan Kompleks Tamu Kianggeh, Awang Marshidi bin Haji Omar.

Sebelum ini, tamu-tamu dan pasar di bawah jabatan tersebut telah pun membuat petak penjarakan sosial selain melekatkan poster garis panduan mengenai langkah-langkah mengelak jangkitan COVID-19.

Selain itu, beliau juga menyarankan para peniaga dan orang ramai untuk memakai penutup mulut dan hidung ke arah kebaikan bersama di samping mematuhi teguran berhemah daripada kakitangan Jabatan Bandaran kepada pengunjung semasa berada di tamu-tamu dan pasar berkenaan.

Inisiatif menggunakan pembesar suara itu dilaksanakan serentak di tamu-tamu dan pasar Kompleks Tamu Kianggeh (KTK), Pasar Ikan Gadong, tamu bunga dan Pasar Pelbagai Barangan Gadong.

Beliau seterusnya berharap, usaha berterusan Jabatan Bandaran BSB terutama di tamu dan pasar yang menjadi tumpuan orang ramai dapat mengawal penularan wabak berkenaan.
Beliau juga menyeru kerjasama semua pihak terutama orang ramai, pengunjung dan peniaga untuk sama-sama berganding bahu menghentikan wabak COVID-19 di negara ini.

Manakala itu, Pembantu Bandaran Tingkat 1, Awang Ahmad Saufi bin Haji Mohd Yusuf yang menjalankan kawalan di kawasan Pasar Ikan Gadong pula berkongsi, tindakan baharu dengan menggunakan pembesar suara di pasar berkenaan telah mendapat respons yang berkesan daripada pengunjung dan peniaga.

Menurutnya, selain usaha-usaha seperti melekatkan poster pencegahan COVID-19 dan petak penjarakan sosial serta sinki-sinki mencuci tangan di kawasan terbabit, pihaknya juga akan mempertimbangkan usaha-usaha berterusan lain yang akan dilaksanakan kelak.

“Ini antaranya dengan pemasangan poster penjarakan sosial di pintu masuk Pasar Ikan Gadong dan mengingatkan pengunjung dan penjual untuk sentiasa mengamalkan penjarakan sosial semasa berada di pasar berkenaan,” tambahnya.

Kakitangan Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan kelihatan memantau keadaan di Pasar Ikan Gadong dengan membawa alat pembesar suara sebagai salah satu lagi inisiatif jabatan itu membendung penularan COVID-19. – Gambar serahan Jab. Bandaran BSB.