Thursday, December 26, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Guna pendekatan agama cegah COVID-19

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OKT – Di Negara Brunei Darussalam, langkah dan tindakan pencegahan serta pengawalan jangkitan wabak COVID-19 adalah berpaksikan pandangan profesional perubatan dan kesihatan dengan justifikasi hukum syarak.

    “Alhamdulillah, semua ini adalah berkat kepimpinan bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.”

    Perkara itu dikongsikan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman semasa Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi Menteri-menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura (MABIMS) yang telah bersidang secara maya, hari ini.

    Turut hadir selaku delegasi Negara Brunei Darussalam pada Pertemuan MABIMS secara maya itu ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) di KHEU, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang serta beberapa orang pegawai kanan KHEU.

    Yang Berhormat Pehin berkata lagi bahawa dengan pengertian baik orang ramai mengenai justifikasi hukum syarak terhadap nasihat dan aturan-aturan profesional kesihatan, menjadikan keadaan di negara ini berlangsung baik tanpa menimbulkan sebarang tengkarah keagamaan atau pun menjadi isu dalam kalangan masyarakat.

    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bersama rombongan semasa pertemuan MABIMS yang diadakan secara maya. – Gambar oleh Muiz Matdani

    Hal sedemikian itu, jelas Yang Berhormat Pehin, disulami lagi dengan amalan-amalan keagamaan di peringkat negara dan rakyat khasnya yang beragama Islam. Cara sedemikian telah meredakan rasa cemas dan menghindarkan daripada suasana panik. Sebaliknya timbul kesedaran yang tinggi mematuhi panduan dan arahan-arahan mencegah dan mengawal jangkitan sebagai suatu kepatuhan terhadap aturan undang-undang dan juga terhadap kemurnian hukum syarak.

    Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi MABIMS yang julung kali diadakan secara maya itu telah dipengerusikan oleh Menteri Agama Republik Indonesia, Tuan Yang Terutama Fachrul Razi di mana Republik Indonesia selaku tuan rumah.

    Dalam sesi dialog interaktif pertemuan MABIMS secara maya, Yang Berhormat Pehin telah mengongsikan pengalaman Negara Brunei Darussalam dan langkah-langkah pengawalan bagi menangani pandemik COVID-19 khususnya mengenai isu-isu yang berkaitan dengan keagamaan dan peribadatan.

    KHEU telah menggunakan pendekatan-pendekatan agama seperti merujuk kepada fatwa-fatwa dan dasar oleh kerajaan yang berkaitan dengan amalan-amalan dan perkhidmatan agama bagi memberikan masyarakat informasi dan penjelasan dalam sidang media dan media massa seperti keputusan bagi penutupan sementara masjid, surau dan balai ibadat, penutupan sekolah-sekolah Arab dan agama serta menangguhkan penghantaran jemaah haji pada tahun ini.

    Selain isu-isu keagamaan semasa, menteri-menteri agama juga bertukar-tukar maklumat dan pandangan mengenai penyelenggaraan ibadah haji dan umrah serta pelaksanaan dakwah dalam pembinaan umat semasa pandemik COVID-19 ini.

    Terdahulu sebelum pertemuan MABIMS peringkat Menteri-menteri Agama, Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan (SOM) MABIMS juga telah berlangsung yang dipengerusikan oleh Sekretaris Jenderal Kementerian Agama Indonesia, Profesor Dr H Nizar Ali M.Ag.

    Mesyuarat dimulai dengan sesi silaturahim antara ketua-ketua SOM MABIMS berserta delegasi masing-masing.

    Mesyuarat peringkat SOM MABIMS telah membincangkan mengenai pertukaran informasi dalam bidang keagamaan semasa menangani penularan pandemik COVID-19 di negara-negara anggota seperti perlaksanaan ibadah, perlaksanaan akad nikah dan perlaksanaan pendidikan agama. Selain itu, mesyuarat turut membincangkan mengenai draf Rancangan Strategik MABIMS 2021–2025 dan persiapan perlaksanaan pertemuan MABIMS dan Mesyuarat SOM MABIMS di Republik Indonesia pada 2021 nanti.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda