TOKYO, 6 SEPT – Sebuah bandar di Jepun merancang menggunakan robot untuk memastikan murid-murid sekolah menghadiri kelas secara maya, ketika kadar ponteng meningkat disebabkan perasaan risau dan kes buli, kata pegawai hari ini.
Kanak-kanak akan dapat menggunakan peralatan di rumah untuk menggerakkan robot secara kawalan jauh yang mewakili mereka di sekolah, membolehkan mereka mengambil bahagian dalam kelas dan perbincangan dengan rakan, kata pegawai dari bandar selatan Kumamoto, Jepun.
Seperti negara-negara lain, Jepun telah menyaksikan peningkatan dalam jumlah kanak-kanak tidak hadir ke sekolah susulan pandemik COVID, dengan alasan bagi ponteng termasuklah sukar menyesuaikan diri di sekolah sehinggalah buli, menurut siasatan kerajaan.
Robot setinggi satu meter itu akan bergerak sendiri, dengan murid dapat menggerakkannya di kawasan sekolah dan ia juga dapat mengambil bahagian dalam acara sekolah, menurut laporan.
“Berkomunikasi melalui robot-robot ini tidak sepenuhnya seperti dunia nyata, tetapi sekurang-kurangnya dapat memberikan sesuatu yang nampak nyata kepada kanak-kanak yang masih tidak yakin dan takut untuk berinteraksi dengan orang lain,” kata Maki Yoshizato, pegawai bandar Kumanmoto, kepada AFP.
“Kami berharap pendekatan ini akan membantu mengurangkan ketakutan psikologi mereka.”
Di seluruh Jepun, jumlah murid yang ponteng di peringkat sekolah rendah dan menengah mencecah paras tertinggi iaitu 244,940 pada tahun fiskal 2021, menurut tinjauan terkini Kementerian Pendidikan.
Inisiatif robot, yang Kumamoto berharap akan dilaksanakan seawalnya pada November sementara menunggu kelulusan belanjawan, dibuat selepas bandar yang celik teknologi itu melancarkan bilik darjah maya dalam ‘metaverse’ untuk menangani masalah ponteng sekolah.
“Ia sangat penting untuk memberikan lebih banyak pilihan kepada murid-murid yang tidak dapat bersekolah untuk belajar,” kata datuk bandar Kumamoto, Kazufumi Onishi kepada wartawan bulan lalu.- AFP