Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Guna serat pisang, tanah liat cipta batu bata

    MALAYSIA – Cheng Yen Pheng, 42, seorang artis dari Malaysia, berasa teruja setiap kali menemui batang pokok pisang atau tanah liat terbuang di sekitar kawasan kediamannya.

    Bahan-bahan yang kelihatan biasa itu mempunyai nilai besar bagi Cheng, yang dikenali dengan karya seni menggunakan sumber alam semula jadi.

    Cheng mengitar semula serat pisang menjadi kertas dan digunakannya semasa membuat bata tanah liat. Sejak awal tahun ini, Cheng telah memulakan projek mencipta bata daripada tanah liat, serat pisang dan pasir.

    Projek itu bermula apabila Cheng menemui sejumlah besar tanah liat yang tidak digunakan di sebuah tapak pembinaan berhampiran rumahnya di Batu Arang, Selangor. Melihat potensi bahan tersebut, Cheng memutuskan untuk menggunakan tanah liat itu dalam karyanya.

    “Melihat semua tanah liat dari tapak pembinaan itu memberikan saya idea. Saya perhatikan bahawa ada penduduk kampung yang menggunakan tanah liat untuk kebun sayur mereka, tetapi masih banyak lebihan. Jadi, saya fikir, mengapa tidak menggunakannya untuk seni?” katanya.

    Cheng menggunakan tanah liat sumber tempatan untuk membuat bata mesra alam. – ANN/The Star
    Gambar ANN/The Star
    Gambar ANN/The Star
    Kertas mulberi terkenal dengan kekuatan, ketahanan dan teksturnya yang licin. – ANN/The Star
    Kulit pokok pisang dihiris nipis, direbus dan ditumbuk untuk dijadikan kertas. – ANN/The Star
    Cheng melakukan proses mengubah dahan mulberi menjadi kertas di taman. – ANN/The Star
    Cheng bersama dua anak muda di Festival Tukang di The Spine, Petaling Jaya baru-baru ini. – ANN/The Star
    Gambar ANN/The Star
    Gambar ANN/The Star

    Cheng mula mengkaji pelbagai perkara, termasuk tentang ketuhar tanah dan pembuatan bata menggunakan bahan semula jadi seperti tanah liat.

    “Saya belajar asas membina ketuhar tanah liat daripada seorang kawan di Batu Arang,” jelasnya. “Dia mempunyai pengalaman menggunakan ketuhar dari tanah liat dan mengajar saya teknik-teknik yang lain. Ia mengambil masa kira-kira sebulan untuk membina ketuhar pertama saya di beranda rumah,” katanya dengan bangga.

    Beranda Cheng dipenuhi dengan bahan mentah seperti bata tanah liat, batang pisang segar, serat pisang kering, alat-alat kreatif dan karya seni siap, menjadikannya ruang dinamik yang mencerminkan jiwa seni.

    Cheng berkata dia mendapat inspirasi daripada artis di tempat-tempat yang pernah dikunjunginya seperti Chiang Mai, Thailand, yang menggunakan sumber tempatan untuk karya seni mereka. Oleh itu, dia memutuskan untuk melakukan perkara yang sama dan bereksperimen dengan membuat bata tanah liat sendiri.

    “Saya mencampurkan tanah liat dengan serat pisang kering dan pasir untuk memperbaiki tekstur dan integriti struktur. Serat pisang bertindak sebagai ‘pengikat’ semula jadi, mengekalkan bentuk tanah liat. Rahsianya terletak pada mencari konsistensi campuran yang betul. Setelah itu dicapai, ia dimasukkan ke dalam acuan dan dibiarkan kering selama beberapa hari,” jelas artis kelahiran Pulau Pinang itu, yang tinggal di Batu Arang sejak lapan tahun lalu.

    Semasa Festival Tukang di Petaling Jaya, Selangor, bulan lalu, Cheng mengajak pengunjung untuk membuat bata dengan tangan mereka. “Sekumpulan sukarelawan dan saya membuat 200 bata! Saya mengajak orang untuk bermain dengan lumpur dan menghargai kualitinya. Ia adalah projek seni eksperimen, bertujuan untuk menyatukan semula orang dewasa dengan bumi melalui permainan tangan,” ujarnya.

    Melihat ke hadapan, Cheng berharap untuk melibatkan komuniti di Batu Arang, di mana sebuah kilang bata pernah berkembang pada zaman kolonial. “Ada sejarah yang kaya di sini. Semasa pemerintahan British, arang batu dan bata adalah industri penting; kini ia hampir dilupakan. Saya berharap untuk menghidupkan semula warisan itu melalui bengkel komuniti, di mana kita boleh meneroka cara yang mampan untuk menggunakan sumber tempatan seperti tanah liat,” katanya.

    Cheng adalah penerima Anugerah UOB Painting of the Year (Malaysia) pada tahun 2019.

    Dia juga menerima Program Pembiayaan Visual Arts Inspire daripada Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (Cendana) pada tahun 2020, yang membolehkannya melakukan penyelidikan mengenai seni tempatan dan kraf komuniti di Terengganu.

    Dia telah mengadakan hampir 20 pameran (secara berkumpulan dan solo) dalam dua dekad yang lalu. Sebagai seorang artis, Cheng suka bereksperimen dengan pelbagai bahan: Dia pernah bekerja dengan logam, kertas pasir, kayu dan kini tanah liat dan serat pisang. – ANN/The Star

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda